Khamis, 11 Ogos 2022 | 10:03pm
Skuad B-19 muncul naib juara Kejohanan Antarabangsa Thanh Nien.
Skuad B-19 muncul naib juara Kejohanan Antarabangsa Thanh Nien.

Skuad Harimau Muda kalah penalti

KUALA LUMPUR: Vietnam meleburkan hasrat Malaysia untuk merangkul gelaran Kejohanan Antarabangsa Thanh Nien Bawah 19 tahun (B-19) 2022 selepas menewaskan skuad negara 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Binh Duong, sebentar tadi.

Sekalipun sepakan penalti kelima yang diambil Nguyen Dang Duong memberi talian hayat kepada negara selepas tendangan Muhammad Abdul Khalil terkena palang, Izrin Ibrahim gagal menyudahkan sepakan penalti kelima apabila tendangannya melambung tinggi.

Apapun, pencapaian mara sehingga ke final boleh dianggap membanggakan terutama selepas mengambil kira pengendali negara, Hassan Sazali Waras membawa ramai 'muka baharu' bagi kejohanan itu.

Vietnam berjaya menutup ruang dengan baik apabila tidak membenarkan Malaysia melakukan percubaan berbahaya ke arah gawang mereka selepas mereka nyaris dibolosi seawal minit pertama.

Kekuatan di bahagian sayap jelas dimanfaatkan sepenuhnya oleh Vietnam dan kerap kali mendatangkan masalah kepada benteng pertahanan negara.

Tuan rumah hanya memerlukan 11 minit untuk 'menodai' gawang negara selepas hantaran lintang Khuat Van Khang ditanduk Nguyen Van Tu yang tidak dikawal menewaskan penjaga gol negara, Aizat Aiman.

Kedua-dua pasukan terus mencari 'jalan' untuk mendapatkan gol namun buntu sekali gus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia terperangkap menerusi satu serangan balas pantas namun Aizat berjaya menepis percubaan deras Nguyen Dinh Bac pada minit ke-65.

Ketika masa sebenar berbaki enam minit, pemain gantian negara, Azhad Harraz Arman menyumbat gol penyamaan selepas menampan masuk hantaran lintang daripada sebelah kanan oleh Rohisham Haiqal.

Susulan keputusan 1-1 sehingga tamat 90 minit perlawanan, kemenangan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti penentuan.

Berita Harian X