Khamis, 11 Ogos 2022 | 9:30pm
Feichtenbeiner kembali menjadi pengarah sukan selepas melepaskan jawatan pengendali Selangor FC. - Foto FB Selangor FC
Feichtenbeiner kembali menjadi pengarah sukan selepas melepaskan jawatan pengendali Selangor FC. - Foto FB Selangor FC

'Tindakan Selangor FC pelik'

KUALA LUMPUR: Gagal sebagai ketua jurulatih pasukan utama tetapi kemudian kembali ke kerusi pengarah sukan pula?

Persoalan itu dianggap pelik oleh bekas pemain Selangor, Azlan Johar ketika diminta mengulas mengenai tindakan Michael Feichtenbeiner yang melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad The Red Giants dan kembali bertugas sebagai pengarah sukan SFC.

Tegasnya, kerusi selaku pengarah sukan perlu diisi bukan setakat oleh individu yang sangat mahir dalam bola sepak tetapi juga berkebolehan untuk mewujudkan satu suasana kemajuan bola sepak untuk pasukan terbabit.

"Jadi jurulatih pun tidak bawa kemajuan pada Selangor, bagaimana pula dia boleh kembali sebagai pengarah sukan? Adakah pelantikan ini semata-mata untuk memenuhi syarat ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL)?

"Sudah bertahun juga dia menjadi pengarah sukan tetapi apa yang dia buat untuk SFC? Nak katakan air tangannya membawa naik ramai pemain muda pun susah juga kerana adakah dia yang meninjau pemain ini dari seluruh Selangor? (Pemain muda) daripada sentuhan jurulatih tempatan juga.

Gambar fail, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar. - Foto Amirudin Sahib
Gambar fail, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar. - Foto Amirudin Sahib

"Mungkin dia pun ada modul yang cuba diperkenalkan kepada SFC tetapi nampaknya modul itu tak berhasil. Beruntunglah Micheal dapat melancong dan dapat gaji selama empat tahun berada di Malaysia.

"Bagi jawatan pengarah sukan ini, lebih baiklah kita beri pada anak tempatan sahaja. Adakah mereka (jurulatih luar) ini benar-benar bekerja kuat untuk kemajuan bola sepak kita?

"Sebagai anak jati Selangor yang bermain dengan Selangor dan jurulatih yang mendapat didikan daripada Selangor, pada saya menjadi tanda tanya apabila perkara seperti ini berlaku. Ini satu perkara yang harus kita fikirkan," katanya.

Terdahulu. skuad The Red Giants mengumumkan pengendali berusia 62 tahun itu melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih pasukan dan akan kembali sebagai Pengarah Sukan untuk memberi fokus sepenuhnya kepada projek pembangunan bola sepak Selangor.

Dalam perkembangan sama, Azlan mengharapkan pembantu ketua jurulatih SFC, Nidzam Jamil yang 'diangkat' sebagai ketua jurulatih sementara pasukan itu dapat menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaiknya.

"Jangan segan bertanya kepada rakan jurulatih yang lain apa yang patut awak buat. Saya yakin semuanya sedia untuk membantu. Saya pernah menyertai kursus kejurulatihan dengan Nidzam dan saya tahu dia sangat berpotensi.

"Jangan buat sesuatu yang pelik dan buatlah apa yang diperlukan bola sepak terkini. Saya doakan kejayaan untuk adik saya ini," katanya.

Berita Harian X