Khamis, 11 Ogos 2022 | 5:00pm
Pemain KL City rai kejayaan mara ke final Piala AFC Zon ASEAN bersama penyokong di Vietnam.
Pemain KL City rai kejayaan mara ke final Piala AFC Zon ASEAN bersama penyokong di Vietnam.

'Latih penalti tiga hari lalu'

KUALA LUMPUR: Pengendali KL City FC, Bojan Hodak mendedahkan mereka hanya menjalani latihan bagi sepakan penentuan penalti tiga hari sebelum berdepan Viettel FC bagi aksi separuh akhir Zon ASEAN Piala AFF 2022, kelmarin.

Namun latihan singkat itu jelas cukup memadai buat mereka apabila berjaya mara ke final Zon ASEAN susulan kejayaan menyingkirkan kelab dari Vietnam itu 6-5 menerusi sepakan penentuan penalti selepas buntu dalam aksi 120 minit.

"Kita perlu bersedia dalam apa jua keadaan tetapi kita hanya melakukan persediaan untuk menghadapi sepakan penentuan penalti tiga hari lalu.

"Semua orang di sini dapat menyaksikan sesi latihan itu kerana ia dilakukan secara terbuka," kata Hodak selepas perlawanan.

Terdahulu, kegagalan dua pemain tuan rumah iaitu Tran Danh Trung dan Bui Duy Thuong menyempurnakan sepakan penalti membolehkan anak buah Hodak membuat perhitungan semula dengan PSM Makassar pada aksi final nanti.

Pada pertembungan peringkat kumpulan sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sekali gus menyaksikan PSM Makassar muncul sebagai juara kumpulan H.

Mengulas lanjut pertembungan menentang Viettel, Hodak mengakui anak buahnya berjaya 'mengunci' pasukan lawan dengan tidak membenarkan mereka mengancam gawang KL City bagi mendapatkan gol yang diinginkan.

"Saya sudah katakan bahawa Viettel adalah antara pasukan terkuat di rantau ini tetapi kami berjaya menutup mereka dengan baik. Saya rasa mereka hanya ada satu percubaan tepat ke arah gawang kami.

"Kami mendapat beberapa serangan balas pantas tetapi penjaga gol mereka juga beraksi dengan cemerlang. Ini satu perlawanan yang sukar dan apabila tiba kepada sepakan penalti, kita memerlukan sedikit tuah," katanya.

Berita Harian X