Rabu, 10 Ogos 2022 | 11:05pm
Pemain TFC,  Shahrul Nizam (kiri) berebut bola dengan penyerang JDT, Bergson da Silva pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. GHAZALI KORI/NSTP
Pemain TFC,  Shahrul Nizam (kiri) berebut bola dengan penyerang JDT, Bergson da Silva pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. GHAZALI KORI/NSTP

JDT tawan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

KUALA TERENGGANU: Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas melakar kemenangan 2-1 menundukkan Terengganu FC (TFC) pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mengumpul 38 mata hasil 14 perlawanan manakala TFC kekal di tempat kelima dengan 17 mata menerusi 13 perlawanan.

Terdahulu skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain yang mahu membalas dendam kekalahan 1-2 pada aksi pusingan pertama April lalu bermula garang dengan percubaan pertama menerusi Kpah Sherman pada minit kesembilan yang berjaya disekat pertahanan pelawat.

Pemain TFC, Kpah Sean Sherman (dua, kiri) diasak pemain JDT, Shahrul Mohd Saad (kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadum Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini. - BERNAMA
Pemain TFC, Kpah Sean Sherman (dua, kiri) diasak pemain JDT, Shahrul Mohd Saad (kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadum Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini. - BERNAMA

Dua minit berselang, pemain pinjaman, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim perlu menyalahkan diri sendiri selepas gagal menyempurnakan peluang terbaik untuk mendahului skuad Harimau Selatan itu selepas tendangannya tersasar di sebelah kanan pintu gol pelawat.

TFC yang turun tanpa kelibat pemain sayap lincah, Mohd Faisal Halim dan pemain import, Manuel Ott, terpaksa merelakan seorang lagi tonggak import, Petrus Shitembi direhatkan pada minit ke-16 kerana masalah kecederaan dan digantikan dengan Mohamad Hakimi Abdullah.

Sedar kerap diasak, skuad kendalian Hector Bidoglio memperkemaskan asakan dan pada minit ke-29, penjaring terbanyak skuad itu, Bergson Da Silva hampir memecah kebuntuan gol, namun tendangannya terkena tiang sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah yang dikawal Rahadiazli Rahalim.

Bagaimanapun pada minit ke-31, Bergson yang mendapat umpanan jarak jauh daripada Mohd Afiq Fazail, tidak melepaskan peluang terbaik itu apabila berjaya menyumbat gol pertama untuk pasukannya mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, skuad pelawat tidak menunggu lama untuk menambah jaringan kedua menerusi rembatan dari luar kotak penalti Fernando Forestieri pada minit ke-47 yang gagal ditepis Rahadiazli.

Pemain JDT, Fernando Forestieri (dua, kanan) meraikan jaringan pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadum Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini. - BERNAMA
Pemain JDT, Fernando Forestieri (dua, kanan) meraikan jaringan pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadum Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini. - BERNAMA

Pada minit ke-50, TFC berjaya merapatkan kedudukan 1-2 selepas sepakan percuma Mohamad Hakimi dari jarak kira-kira 20 meter gagal dibaca penjaga gol, Mohd Farizal Marlias sebelum bola menerjah jaring pelawat.

Tiga minit selepas itu, Nik Muhammad Sharif Haseefy berpeluang untuk menyamakan kedudukan selepas mendapat peluang di sebelah kanan pintu gol hasil umpanan Sherman, namun rembatannya sedikit tersasar dan kedudukan muktamad kekal memihak kepada JDT dengan kemenangan 2-1.

Berita Harian X