Rabu, 10 Ogos 2022 | 10:16pm
KL City mara ke final Zon ASEAN Piala AFC.
KL City mara ke final Zon ASEAN Piala AFC.

KL City mara ke final

KUALA LUMPUR: KL City FC mengesahkan tempat ke final Zon ASEAN Piala AFC 2022 selepas menyingkirkan kelab dari Vietnam, Viettel FC 6-5 menerusi sepakan penentuan penalti pada aksi di Stadium Thong Nhat, sebentar tadi.

Kegagalan dua pemain tuan rumah iaitu Tran Danh Trung dan Bui Duy Thuong menyempurnakan sepakan penalti 'menghantar' skuad bimbingan Bojan Hodak ke final berdepan satu lagi finalis zon ASEAN, PSM Makassar.

Selepas tendangan Danh Trung terkena palang, Azri Ghani menjadi wira buat KL City FC apabila berjaya menepis percubaan Duy Thuong sekali gus memuktamadkan kemenangan buat pelawat.

Awal babak lebih dikuasai Viettel dengan gerakan pada minit ketujuh nyaris mencemaskan benteng KL City FC apabila hantaran lintang ditepis Azri sebelum tindakan Pedro Paulo yang 'tamak' pada minit ke-15 mensia-siakan serangan balas pantas tuan rumah.

Percubaan Nguyen Hoang Duc tersasar tinggi pada minit ke-28 sebelum peluang terbaik KL City FC hadir pada minit ke-31 menerusi sepakan percuma Paulo Josue dari jarak 35 meter namun ditepis Tran Nguyen Manh.

Pertahanan KL City FC, Irfan Zakaria memastikan kedudukan kekal 0-0 selepas berjaya menyekat gerakan pemain Viettel FC yang cuba mara menuju ke gawang mereka pada minit ke-36.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan terus buntu untuk mendapatkan gol pembukaan dan Azri terus 'kebal' menafikan percubaan Nguyen Dunc Hoang Minh pada minit ke-66 disusuli rembatan Nham Manh Dung pada minit ke-73.

Viettel FC terselamat apabila Nguyen Manh berjaya menepis tandukan Romel Morales pada minit ke-73 dan sekalipun bola tepisan itu hinggap di palang namun gagal dimanfaatkan pemain KL City FC untuk melakukan percubaan susulan.

Kedudukan 0-0 kekal sehingga masa sebenar berakhir sekali gus memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan dan tiada lagi jaringan selepas 120 minit menyebabkan perlawanan perlu ditentukan menerusi sepakan penalti penentuan.

Berita Harian X