Jumaat, 5 Ogos 2022 | 11:06pm
Pemain JDT Bergson Gustavo Silveira Da Silva (kanan) dihalang pertahanan Penang FC Rafael Vitor Santos De Freitas (dua, kanan), pada perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim. - BERNAMA

JDT mara ke final, belasah Penang 6-1

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan melangkah ke pentas final selepas membelasah Penang FC 6-1 pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Lawan JDT di pentas final akan ditentukan antara Terengganu FC dan Selangor FC apabila kedua-dua pasukan itu akan berentap pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu malam esok.

Apapun kejayaan skuad Harimau Selatan ibarat tuah buat pengendali baharu, Hector Bidoglio yang mengotakan janjinya untuk membawa pasukan itu ke pentas final sekali gus mengintai peluang mengulangi kejayaan yang dikecapi pada musim 2016.

Pada perlawanan itu, tiada perubahan dilakukan Bidoglio apabila mempertaruhkan hampir kesebelasan yang sama ketika JDT membelasah Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 5-0 pada aksi Liga Super, baru-baru ini.

Pemain JDT Fernando Forestieri (kiri) melakukan percubaan ketika menentang Penang FC pada perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto Bernama
Pemain JDT Fernando Forestieri (kiri) melakukan percubaan ketika menentang Penang FC pada perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto Bernama

Bermula daripada bola umpanan Leandro Velazquez pada minit ke-20 kepada Fernando Forestieri yang bertindak melencongkan bola tetapi terkena tiang gol sebelah kiri namun Bergson Da Silva pantas menghidu peluang dengan merembat bola menerjah jaring menewaskan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam untuk meletakkan JDT mendahului 1-0.

Gol pertama itu mencetus semangat skuad Harimau Selatan apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-24 selepas bola sepakan lintang Arif Aiman Hanapi tepat kepada Shane Lowry yang menanduk untuk Forestieri merembat bola kencang menewaskan Hafizul Hakim.

Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri) berebut bola dengan pemain Penang FC, Muhammad Adib Abdul Ra’op pada separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim. - BERNAMA
Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri) berebut bola dengan pemain Penang FC, Muhammad Adib Abdul Ra’op pada separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim. - BERNAMA

Tuan rumah hanya memerlukan tiga minit sebaik babak kedua bersambung untuk menjaringkan gol apabila Arif Aiman bijak menghidu peluang walaupun pada sudut yang sukar apabila merembat bola leret menewaskan Hafizul Hakim selepas menerima bola umpanan Forestieri.

Arif Aiman mencetak gol kedua peribadi selang tiga minit kemudian apabila pantas menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola menewaskan Hafizul Hakim selepas menerima bola hantaran Forestieri.

Bagaimanapun, pelawat bangkit untuk mencipta gol pertama pada minit ke-54 selepas bola tandukan Hilal Alhelwe tepat kepada Lucas yang menanduk bola menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Pemain JDT Bergson Gustavo Silveira Da Silva (dua, kanan) dihalang pertahanan Penang FC Rafael Vitor Santos De Freitas (kanan) pada perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim. - Bernama

Namun kebangkitan Penang FC tersentak pada minit ke-63 selepas tindakan Arif Aiman yang menerima bola umpanan Foresrtieri bertindak menggelecek dua pemain pertahanan pasukan pelawat sebelum merembat bola leret menyaksikan bola terkena kaki Ahmad Sukri Ab Hamid menyebabkan Hafizul Hakim hanya terpaku melihat bola bergolek masuk.

Tuan rumah melengkapkan malam gemilang selepas bola sepakan deras Syahmi Safari menyaksikan Rafael Vitor tertampan bola ke gawang sendiri dan kedudukan 6-1 kekal memihak skuad Harimau Selatan.

Berita Harian X