Sabtu, 16 Julai 2022 | 10:45pm
Pemain KL City, Jordan Mintah (tengah) diasak kapten PJ City, K Gurusamy Govandar (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi. Keputusan berakhir 0-0. - Foto NSTP/Azhar Ramli.
Pemain KL City, Jordan Mintah (tengah) diasak kapten PJ City, K Gurusamy Govandar (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi. Keputusan berakhir 0-0. - Foto NSTP/Azhar Ramli.

KL City, PJ City terikat tanpa jaringan

KUALA LUMPUR: KL City FC dan PJ City FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila kedua- dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di sini, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad The Phoenix terus kemarau kemenangan selepas mengharungi tujuh perlawanan dan sekali gus kian rapat dengan zon penyingkiran.

Peluang pertama terlebih dahulu dimiliki PJ City pada minit ketiga susulan tindakan pemain KL City yang menghantar bola ke belakang dan cuba dimanfaatkan Darren Lok namun rembatannya ditepis Kevin Mendoza.

Gerakan daripada sebelah sayap kiri menerusi Hadin Azman pada minit ke-12 seakan nyaris membuahkan hasil tetapi dikecewakan oleh penyudah Fakrul Aiman Sidid yang melambung tinggi.

Pertahanan KL City, Giancarlo Gallfuoco menyelamatkan gawang tuan rumah daripada dibolosi gol sendiri berpunca daripada salah faham antara Irfan Zakaria dan Mendoza pada minit ke-31.

Bersambung babak kedua, sepakan percuma Hadin pada minit ke-46 diselamatkan Kalamullah Al Hafiz sebelum giliran Mendoza pula menepis percubaan jarak jauh penyerang PJ City FC, S Kumaahran tiga minit berselang.

Selepas ini, KL City akan turun untuk aksi 'tetangga Lembah Klang' sekali lagi berdepan Selangor sementara PJ City akan menentang Melaka United FC.

Berita Harian X