Selasa, 28 Jun 2022 | 11:03pm
Tiga pemain PJ City gagal mengawal Bergson (kanan) sekali gus membolehkan penyerang JDT itu menjaringkan gol pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Tiga pemain PJ City gagal mengawal Bergson (kanan) sekali gus membolehkan penyerang JDT itu menjaringkan gol pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

JDT belasah PJ City

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus gah di puncak liga selepas membenam Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 4-0 pada aksi tertunda Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Kemenangan itu memastikan JDT berjaya mengumpul 22 mata hasil tujuh kemenangan dan satu keputusan seri sekali gus menjarakkan mata dengan pencabar terdekat Negeri Sembilan FC dan Sabah FC.

Pada perlawanan itu, pengendali JDT, Benjamin Mora mengekalkan kesebelasan yang sama ketika meratah Selangor FC 5-1, Jumaat lalu dan tampak menguasai permainan sebaik aksi bermula.

Percubaan pertama skuad Harimau Selatan hadir seawal minit kelima apabila Bergson Da Silva bertindak melakukan rembatan di luar kotak penalti tepat menuju ke penjuru kanan gawang tetapi penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi sempat merebahkan badan untuk menepis bola keluar.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman (kanan) dikawal pemain PJ City V Ruventhiran pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 antara JDT menentang PJ City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. - Foto Nur Aisyah Mazalan

Walaupun sering diasak, PJ City FC mengambil peluang menerusi serangan balas pada minit ke-19 apabila bola sepakan lencong A Ashokan Pillay hampir memerangkap penjaga gol, Farizal Marlias yang sudah tertewas namun palang gol menjadi penyelamat buat JDT.

Bagaimanapun, tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-22 berpunca daripada bola lorongan Leandro Velazquez yang membolehkan Bergson bertindak memusingkan badan sebelum merembat bola kencang di luar kotak penalti.

Hasil daripada sepakan percuma pada minit ke-25, tuan rumah mendahului 2-0 apabila bola sepakan percuma Fernando Forestieri tepat menuju ke penjuru kiri gawang.

Velazquez sepatutnya mampu menjelmakan gol ketiga buat JDT ketika berbaki tiga minit sebelum babak pertama berakhir namun bola rembatan pemain import dari Argentina itu hanya singgah di palang gol ketika Kalamullah sudah tertewas.

Pemain JDT Fernando Martin Forestieri mencabar pemain PJ City FC Gurusamy Govandar Kandasamy pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA
Pemain JDT Fernando Martin Forestieri mencabar pemain PJ City FC Gurusamy Govandar Kandasamy pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA

Bersambung babak kedua, Bergson terlepas peluang mencetak gol kedua peribadinya pada minit ke-53 selepas bola sepakan percuma dari jarak 25 meter hanya sekadar melewati palang gol.

Serangan bertali arus tuan rumah memastikan pasukan pelawat terus derita apabila Bergson menyudahkan hantaran Forestieri pada minit ke-66.

Kesilapan pemain PJ City yang mengumpan bola ke belakang pada minit ke-86 membolehkan Bergson merampas bola sebelum mengumpan kepada Forestieri yang tidak dikawal untuk menolak bola masuk menewaskan Kalamullah.

Berita Harian X