Jumaat, 24 Jun 2022 | 10:20pm
Pemain JDT meraikan jaringan ketika aksi menentang Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. - FOTO FB Johor Southern Tigers
Pemain JDT meraikan jaringan ketika aksi menentang Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. - FOTO FB Johor Southern Tigers

JDT 'titik' Selangor

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali merampas tangga teratas selepas membenam Selangor FC 5-1 pada aksi tertunda saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan skuad kendalian Benjamin Mora mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi tujuh perlawanan untuk mengumpul 19 mata manakala pencabar terdekat, Sabah FC hanya ketinggalan satu mata.

Sebaik babak pertama bermula, JDT meraih gol awal pada minit ketiga selepas tindakan pantas Fernando Forestieri yang mengambil sepakan percuma menolak bola kepada Bergson Da Silva yang kemudian merembat bola kencang dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kanan gawang sekali gus menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

Tersentak dengan gol awal itu, anak didik Michael Feichtenbeiner cuba mencari ruang untuk menyusun serangan tetapi gagal memecah benteng ampuh yang di kawal tiga serangkai tuan rumah, Shane Lowry, Shahrul Saad dan Matthew Davies.

Tuan rumah menghukum skuad yang bergelar Gergasi Merah itu apabila mencipta gol kedua pada minit ke-25 selepas bola sepakan percuma Forestieri dari jarak 25 meter tepat menuju ke sudut kanan gawang.

JDT ternyata tidak mengendah kejayaan Selangor FC menang besar ke atas Sarawak United FC, baru-baru sebaliknya menambah derita anak didik Feichtenbeiner pada minit ke-35 selepas bola umpanan Afiq Fazail mudah buat Leandro Velazquez melencongkan bola tepat ke penjuru kiri gol menewaskan Khairulazhan.

Selangor FC hampir mencipta gol pada minit akhir babak pertama selepas bola sepakan percuma Mukhairi Ajmal tepat kepada kapten Brendan Gan yang melonjak tinggi untuk menanduk bola tetapi penjaga gol, Farizal Marlias pantas merebah badan menepis bola.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan mendominasi permainan dan Forestieri hampir mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-51 apabila bola sepakan percuma dari jarak 25 meter hampir menerjah jaring tetapi kali ini Khairulazhan bersedia untuk menepis bola keluar.

Malang buat Khairulazhan apabila tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-54 berpunca daripada bola sepakan deras Bergson yang sememangnya mahu melakukan sepakan lintang di posisi sayap kanan tetapi penjaga gol pelawat itu gagal menepis bola sekali gus menyaksikan JDT selesa dengan jaringan 4-0.

Akhirnya, pelawat mencipta gol pertama pada minit ke-82 selepas bola lorongan Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau membuka ruang buat pemain gantian Mohd Nor Hakim Hassan menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan merembat bola leret menewaskan Farizal.

JDT jelas enggan berpuas hati dengan empat gol yang dihasilkan sebaliknya memastikan kemenangan bergaya pada minit akhir perlawanan selepas pemain gantian Mahamadou Sumareh menanduk masuk bola sepakan lintang Safawi Rasid.

Berita Harian X