Jumaat, 24 Jun 2022 | 10:01pm
Pemain KL City, Romel Morales (kanan) berebut bola dengan pemain PSM Makassar pada aksi Piala AFC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras. - FOTO FB KL CITY FC
Pemain KL City, Romel Morales (kanan) berebut bola dengan pemain PSM Makassar pada aksi Piala AFC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras. - FOTO FB KL CITY FC

Palang hampakan KL City

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City (KL City) melepaskan peluang untuk membuka saingan Piala AFC di gelanggang sendiri dengan kemenangan apabila diikat tanpa jaringan oleh kelab Indonesia, PSM Makassar di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

PSM Makassar hampir berada di depan ketika aksi separuh masa pertama berbaki dua minit, namun percubaan Yakob Sayuri sekadar menggegar palang.

Nasib sama menimpa KL City pada minit ke-58 apabila rembatan di dalam kotak penalti yang dilakukan Romel Morales turut singgah di palang gol.

Malah, 10 minit kemudian, palang sekali lagi menghalang skuad kendalian Bojan Hodak untuk memecah kebuntuan jaringan dan kali ini menerusi percubaan Irfan Zakaria yang menanduk bola sepakan sudut Paulo Josue.

Ketumpulan jentera serangan KL City dan PSM Makassar berterusan hingga tamat permainan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

PSM Makassar seterusnya akan berdepan Tampines Rovers, Isnin ini sebelum KL City melengkapkan aksi Kumpulan H berdepan kelab dari Singapura itu, Khamis ini.

Berita Harian X