Khamis, 23 Jun 2022 | 6:25pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.

Tiada tambahan pemain tempatan Sri Pahang

KUANTAN: Pengurusan Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengesahkan hanya empat pemain baharu, termasuk tiga import pada jendela perpindahan kedua dibawa masuk menyertai skuad itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kelab itu menyandarkan harapan kepada empat pemain baharu serta pemain sedia ada untuk membantu mencatat keputusan terbaik dalam saingan Liga Super ini.

"Apa yang boleh saya katakan ialah hanya tiga import baharu dibawa masuk bersama seorang pemain tempatan pada jendela perpindahan ini.

"Tiada sebarang keputusan untuk menambah beberapa pemain tempatan lain kerana keputusan yang dibuat sebelum ini adalah yang terbaik.

"SPFC tidak akan mengambil pemain tempatan baharu sebaik pendaftaran pemain import dan tempatan akan tamat, esok," kata Mohammed Suffian.

Pada jendela perpindahan yang akan berakhir esok, skuad kendalian Christophe Gamel itu hanya menyenaraikan empat pemain, termasuk tiga import baharu.

Mereka ialah Steven Rodriguez, 24 dari Colombia, Kevin Ingreso, 29 (Filipina), Sherzod Fayziev, 30 (Uzbekistan) serta pemain tempatan, Mior Dani Armin Mior Ariffin, 23.

Tiga import baharu itu menggantikan Mahmoud Za'tara dari Jordan, Billy Ketkeophompone (Laos) dan Johan Martial (Perancis).

Justeru, Mohammed Suffian mengharapkan kehadiran empat pemain berkenaan akan menyaksikan perubahan positif.

"Dengan pengalaman yang mereka miliki serta kerjasama berpasukan, Sri Pahang berada pada kedudukan terbaik musim ini," katanya.

Berita Harian X