Khamis, 23 Jun 2022 | 6:22pm
Pengendali KL City, Bojan Hodak pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ihsan FB Kuala Lumpur City
Pengendali KL City, Bojan Hodak pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ihsan FB Kuala Lumpur City

Hodak waspada perangkap PSM Makasar

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak seakan mengetahui beberapa senjata rahsia yang dimiliki PSM Makassar menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi Piala AFC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok.

Ia berdasarkan beberapa nama termasuk pemain tengah PSM Makassar iaitu Muhammad Arfan, Yakob Sayuri dan Rizky Eka Pratama yang disebut pengendali dari Croatia itu pada sidang media, hari ini.

Sebenarnya, tidak hairan jika Hodak mengetahui beberapa kekuatan dan kelemahan PSM Makassar kerana dia pernah membimbing pasukan itu pada 2020.

"Mereka mempunyai dua pemain import yang bahaya dan dibantu pemain tempatan seperti Rizky dan Yakob. PSM Makassar pasukan yang bahaya jika diberi ruang dan boleh memusnahkan impian kami.

"Bagi saya, kami akan cuba menguasai bahagian tengah kerana Arfan adalah pemain penting mereka. Jika kami boleh menyekat dia, saya fikir ia memberi kelebihan kepada kami," katanya.

KL City yang diundi dalam Kumpulan H akan beraksi dua perlawanan yang mana selepas PSM Makassar, skuad City Boys akan berdepan wakil Singapura, Tampines Rovers di gelanggang sama, 30 Jun ini.

Selain itu, Hodak menegaskanpasukannya perlu melupakan beberapa keputusan yang mengecewakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini termasuk yang terbaharu tewas 2-0 di tangan Terengganu FC (TFC), Sabtu lalu.

Malah, dia turut meminta penyokong KL City membanjiri stadium bagi perlawanan, malam esok selepas menjangkakan peminat PSM Makassar akan hadir memberi sokongan kepada pasukan mereka.

"Anda tidak boleh terlalu memikirkan perlawanan yang sudah lepas, kami hanya perlu fokus perlawanan seterusnya. Saya berasa pemain menanti kejohanan Piala AFC, mereka mahu mencapai sesuatu dan kami akan fokus kepada perlawanan.

"Perlawanan berdepan TFC adalah perlawanan yang sukar dan saya rasa perlawanan itu membantu kami mempersiapkan pasukan untuk perlawanan esok," katanya

Berita Harian X