Ahad, 12 Jun 2022 | 9:57am
Memphis Depay mengambil sepakan penalti lewat permainan ketika aksi Kumpulan A4 Liga Negara-Negara UEFA menentang Poland di Stadium Feyenoord, Rotterdam. - Foto REUTERS
Memphis Depay mengambil sepakan penalti lewat permainan ketika aksi Kumpulan A4 Liga Negara-Negara UEFA menentang Poland di Stadium Feyenoord, Rotterdam. - Foto REUTERS

Poland sekat rentak kemenangan Belanda

ROTTERDAM, Belanda: Memphis Depay gagal menyempurnakan sepakan penalti lewat permainan untuk Belanda sekadar seri 2-2 menentang Poland dalam aksi Kumpulan A4 Liga Negara-Negara UEFA di Rotterdam.

Pertahanan Poland Matty Cash dipersalahkan kerana bola terkena tangan pada minit ke-90 untuk sepakan penalti kepada tuan rumah, namun sepakan Depay tersasar.

Belanda turun untuk perlawanan itu dengan rekod 100 peratus selepas kemenangan 4-1 ke atas Belgium dan 2-1 menentang Wales.

Poland menewaskan Wales 2-1 tetapi dibelasah Belgium 6-1.

Dalam aksi di Rotterdam, Poland membuka jaringan pada minit ke-18 selepas hantaran lintang Nicola Zalewski menemui Cash yang menewaskan Mark Flekken di gawang Belanda.

Lima minit di babak kedua, Poland mendahului 2-0 hasil gerakan Krzysztof Piatek dan Przemyslaw Frankowski yang membolehkan Piotr Zielinski membolosi gawang tuan rumah.

Bagaimanapun Belanda bangkit dengan dua gol dalam tempoh tiga minit menerusi Davy Klaassen dan Denzel Dumfries sebelum Depay mensia-siakan peluang kemenangan. - AFP

Berita Harian X