Ahad, 12 Jun 2022 | 9:40am
Pemain Wales Brennan Johnson meraikan gol penyamaan ketika aksi Kumpulan A4 Liga Negara-Negara UEFA menentang Belgium di Stadium Cardiff City, Wales. - Foto REUTERS
Pemain Wales Brennan Johnson meraikan gol penyamaan ketika aksi Kumpulan A4 Liga Negara-Negara UEFA menentang Belgium di Stadium Cardiff City, Wales. - Foto REUTERS

Wales, Belgium sama kuat

CARDIFF: Wales mengutip mata pertama kempen Liga Negara-Negara UEFA selepas jaringan penyamaan lewat permainan Brennan Johnson mengikat Belgium 1-1 di Cardiff.

Johnson menyempurnakan hantaran Aaron Ramsey tiga minit sebelum tamat permainan untuk gol antarabangsa pertamanya selepas Youri Tielemans membuka jaringan buat pelawat.

Belgium dan Poland kekal tiga mata di belakang Belanda yang menghuni tangga teratas Kumpulan A4 dengan tujuh mata manakala Wales di tangga tercorot pada satu mata.

Wales kendalian Rob Page masih segar dengan kejayaan layak ke Piala Dunia enam hari lalu dan akhirnya mendapat rentak di Liga Negara-Negara selepas tewas 2-1 di tangan Poland dan Belanda.

Page tidak menurunkan skuad terkuatnya ketika kunjungan Belanda sebelum ini dan Wales tewas buat pertama kali di laman sendiri selepas tiga setengah tahun.

Kapten Gareth Bale kembali memperkuat Wales ketika bertemu Belgium dan ternyata mereka berjaya menandingi skuad di ranking kedua dunia itu. - AFP

Berita Harian X