Jumaat, 10 Jun 2022 | 6:33pm
Sanrawat sah sertai Kedah.
Sanrawat sah sertai Kedah.

Kedah sambar pemain Thailand

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memperkukuhkan jentera tengah mereka apabila mengikat pemain tengah dari Thailand Sanrawat Dechmitr pada jendela perpindahan kedua musim ini.

Kemasukan Sanrawat yang juga pemain kebangsaan Thailand musim 2019 ini diumumkan secara rasmi pada hari ini dan dia akan mengisi kuota pemain ASEAN bagi menggantikan Dennis Buschening.

Pemain berusia 32 tahun ini membawa reputasi hebat apabila turut berada dalam kesebelasan terbaik saingan Piala AFF 2018 selain memiliki pengalaman luas bermula dengan Tampines Rovers, Bangkok Glass, BEC Tero Sasana, Bangkok United dan Ratchaburi FC sebelum menyertai KDA FC.

Selain kemampuan menghantar bola dengan baik, pemain ini juga dikatakan memiliki sentuhan yang kreatif dalam gerakan.

"KDA FC telah mencapai persetujuan dengan pemain Bangkok United FC, Sanrawat Dechmitr sebagai pemain pinjaman untuk baki saingan musim 2022.

"Sebelum ini, pemain yang dikenali sebagai Camp ini dipinjamkan ke Ratchaburi Mitr Pol.

"Kehadiran Sanrawat adalah bagi memperkuatkan bahagian tengah pasukan dan akan mengisi slot ASEAN menggantikan Dennis Buschening yang masih dalam proses pemulihan kecederaan.

"Kehadiran beliau juga bakal diuji dalam perlawanan persahabatan menentang Perak malam ini dan akan turut menjadi tonggak untuk saingan Piala AFC pada hujung bulan ini," jelas media rasmi KDA FC.

Pengendali KDA FC Aidil Sharin Sahak menyifatkan pemilihan Sanrawat adalah berdasarkan pengalaman di peringkat tertinggi dan kualiti permainan yang dimilikinya.

"Pengalaman dan kualiti permainan yang dimiliki Sanrawat adalah antara faktor dia dipilih dan berharap dia dapat memberi impak yang terbaik buat pasukan," katanya.

Berita Harian X