Selasa, 31 Mei 2022 | 9:42am
Polis rusuhan Perancis mengawal di depan penyokong Liverpool pada penamat aksi menentang Real Madrid di Stade de France dekat Saint-Denis, Paris. - EPA
Polis rusuhan Perancis mengawal di depan penyokong Liverpool pada penamat aksi menentang Real Madrid di Stade de France dekat Saint-Denis, Paris. - EPA

Kerajaan Perancis salahkan Liverpool

PARIS: Kerajaan Perancis semalam menyalahkan penipuan jualan tiket besar-besaran dan cara Liverpool mengendalikan penyokong mereka yang mencemarkan final Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid hujung minggu lalu.

Ketika drama salah menyalah berterusan semalam, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menggambarkan senario di luar stadium nasional yang menyaksikan sebahagian penyokong termasuk kanak-kanak ditembak gas pemedih mata oleh polis Perancis, sebagai sesuatu yang menyedihkan.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin berkata Liverpool memberikan penyokong mereka dengan tiket kertas, bukan elektronik yang menyebabkan ia boleh menyebabkan "penipuan besar-besar dalam skala industri."

Lebih daripada dua pertiga tiket daripada sebahagian 62,000 penyokong Liverpool didapati palsu kata menteri berkenaan.

"Saya mahu katakan sekali lagi bahawa keputusan itu diambil untuk menghalang kematian atau kecederaan serius," kata Darmanin selepas mengadakan mesyuarat tergempar semalam.

Menteri Sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera mengarahkan satu laporan dibuat berkaitan masalah ketika perlawanan yang dimenangi Real itu.

Sepak mula tergendala lebih daripada 35 minit apabila polis cuba menghalang penyokong yang mahu masuk ke stadium tanpa tiket.

Sebahagian pemegang tiket merungut mereka tidak dibenarkan masuk.

Rakaman televisyen menunjukkan imej seorang lelaki yang tidak memakai jersi merah Liverpool melompat pagar stadium dan melarikan diri daripada pengawal.

Di luar stadium, penyokong termasuk wanita dan kanak-kanak ditembak gas pemedih mata oleh polis rusuhan kata seorang saksi.

UEFA mahukan laporan daripada pihak berkecuali terhadap insiden yang berlaku pada final berkenaan kata badan induk itu. - REUTERS

Berita Harian X