Sabtu, 14 Mei 2022 | 10:28pm
Pemain JDT, Fernando Forestieri meraikan gol keduanya pada minit ke-42 ketika menentang Sarawak United FC pada pusingan kedua saingan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. JDT menang 3-0. - Foto BERNAMA.
Pemain JDT, Fernando Forestieri meraikan gol keduanya pada minit ke-42 ketika menentang Sarawak United FC pada pusingan kedua saingan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. JDT menang 3-0. - Foto BERNAMA.

JDT mudah singkir Sarawak United aksi Piala FA

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Sarawak United FC 3-0 pada aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan memastikan kemenangan menerusi dua jaringan Fernando Forestieri dan satu Nazmi Faiz Mansor. Lawan JDT pada peringkat suku akhir nanti akan ditentukan menerusi undian Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas berakhirnya saingan pusingan kedua.

Bermulanya aksi babak pertama, skuad kendalian Benjamin Mora menguasai permainan dengan melancarkan gerakan dan pada minit keenam gol yang dicari terhasil menerusi sepakan percuma Nazmi Faiz dari jarak 20 meter yang menyaksikan penjaga gol, Tauffiq Ar Rasyid Johar tewas.

Forestieri hampir mencipta gol kedua buat JDT pada minit kesembilan apabila bertindak pantas merembat bola dari luar kotak penalti selepas menerima bola umpanan Matthew Davies. Rembatan pemain import dari Argentina itu hanya sipi disebelah kanan gawang ketika Tauffiq sudah tertewas.

Berpunca daripada gerakan Corbin Ong pada minit ke-15, Bergson pula bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan merembat bola leret menyebabkan Tauffiq gagal menangkap bola kemas. Kesempatan itu diambil oleh Forestieri yang mudah menolak masuk untuk meletakkan JDT selesa mendahului 2-0.

Corbin sekali lagi memainkan peranan bagi membolehkan Forestieri meledak gol kedua peribadi pada minit ke-42 selepas umpanannya menyaksikan pemain berjersi 45 itu merembat bola kencang dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kiri menewaskan Tauffiq.

Bersambung babak kedua, Sarawak United hampir mencipta jaringan pada minit ke-52 apabila pemain gantian Lee Chang-hoon merembat bola kencang dari luar kotak penalti tapi penjaga gol, Farizal Marlias berada di posisi terbaik untuk menepis bola.

Apapun, pada aksi itu, Bergson menjadi penyerang paling malang selepas beberapa percubaan terutama pada babak pertama dan kedua yang mampu diterjemah dengan jaringan sering gagal sama ada bola sepakannya sipi dari gawang gol atau terkena pertahanan lawan.

Namun kemenangan 3-0 ini sudah memadai untuk JDT melangkah ke peringkat suku akhir.

Berita Harian X