Selasa, 10 Mei 2022 | 11:04pm
Penyerang Kedah, Ronald Ngah meraikan jaringannya ketika menentang PJ City di Stadium MBPJ malam ini. FB Kedah FC
Penyerang Kedah, Ronald Ngah meraikan jaringannya ketika menentang PJ City di Stadium MBPJ malam ini. FB Kedah FC

PJ City bangkit ikat Kedah

PETALING JAYA: Bekas pemain Kedah, Khyril Muhymeen Zambri mengecewakan bekas pasukannya selepas tandukannya membantu PJ City FC bangkit mengikat Kedah Darul Aman (KDA) FC 3-3 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Umpama 'Phoenix' bangkit dari abu yang menjadi julukan pasukan itu, anak buah P Maniam mencetus kebangkitan mengagumkan sekalipun ketinggalan dua gol ketika saingan berbaki kurang 25 minit.

Pengendali KDA, Aidil Sharin Sahak pula pasti tidak berpuas hati selepas anak buahnya mensia-siakan kelebihan dua gol yang dimiliki dan terus keciciran dua mata selepas mereka sudahpun tumbang dalam dua aksi terakhir.

Pada aksi terbabit, KDA sepatutnya beroleh gol pertama seawal minit kelima apabila Ronald Ngah hanya perlu menewaskan Kalamullah Al Hafiz namun penyerang itu sekadar 'sepak angin' dan bola mudah ditangkap penjaga gol PJ City FC itu.

Bagaimanapun, Ngah menebus kehampaan pada minit ke-18 dengan memanfaatkan situasi kelam kabut di pintu gol PJ City FC apabila pantas menyambar bola yang tiba di hadapannya untuk membuka jaringan buat pelawat.

Penyerang kebangsaan, Darren Lok membawa PJ City kembali dalam perlawanan apabila penyudahnya yang menyambut percubaan M Tamil Maran yang terlebih dahulu hinggap di palang menjadikan kedudukan terikat 1-1 pada minit ke-28.

Kedudukan 1-1 hanya bertahan tiga minit selepas hantaran Syafiq Ahmad bermula daripada sepakan percuma disudahkan Ngah sekali gus memberi kelegaan kepada KDA yang kembali memimpin perlawanan.

Bersambung babak kedua, gerakan deras Ngah gagal dikekang pertahanan PJ City FC dan ibarat Ronaldo Nazario, dia sempat menggelecek Kalamullah sebelum menolak masuk bola ke dalam gawang untuk melengkapkan hatrik pada minit ke-64.

Enggan berputus asa, PJ City FC merapatkan jurang menerusi tandukan Mahali Jasuli pada minit ke-76 sebelum Khyril melengkapkan kebangkitan tuan rumah dengan gol ketiga pada minit ke-83.

Berikut kedudukan pingat negara bertanding hari ini.

[gn4id:34102732]

Berita Harian X