Selasa, 3 Mei 2022 | 4:32pm
Skuad FAM eRimau ketika menjalani latihan pusat pada 25 hingga 29 April lalu sebagai persiapan ke Sukan SEA Hanoi minggu depan. - Foto ihsan FB FAM.
Skuad FAM eRimau ketika menjalani latihan pusat pada 25 hingga 29 April lalu sebagai persiapan ke Sukan SEA Hanoi minggu depan. - Foto ihsan FB FAM.

FAM umum senarai skuad eRimau ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai skuad eRimau yang akan menggalas cabaran negara pada temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam, minggu depan.

Pemilihan empat pemain iaitu Muhammad Luqman Haziq Hajiman, Muhammad Asyraf Kamal, Gan Mun Kiat dan Wan Muhammad Hakimm Wan Narizan diputuskan oleh ketua jurulatih skuad FAM eRimau kebangsaan, Ahmad Akmal Abdul Rafil.

Mereka akan mewakili skuad FAM eRimau ke Hanoi bagi pertandingan FIFA Online 4 (FO4) yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 Mei ini.

FAM adalah organisasi yang diamanahkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menghantar wakil negara ke temasya Sukan SEA 2021 bagi kategori esukan FO4.

Menurut kenyataan FAM, badan induk bola sepak dunia, FIFA mencadangkan pemilihan atlet bagi pertandingan ini boleh dilakukan melalui pemilihan pemain yang bertanding di kejohanan FIFAe Nations atau pemilihan berdasarkan peringkat saringan menggunakan FIFA HD.

"Ini kerana ketiadaan 'server' FO4 di Malaysia dan cadangan ini turut diberikan kepada negara-negara lain yang tidak mempunyai server FO4.

"Memandangkan ini kali pertama FAM menghantar pasukan bagi kategori FO4 serta mengambil kira ketiadaan server FO4 di Malaysia, FAM mengambil pendekatan untuk menggabungkan pemain FO4 dan pemain skuad FAM eRimau FIFAe Nations Cup sebagai strategi untuk menubuhkan pasukan yang akan menggalas cabaran negara ke temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi.

"Strategi ini dilihat dapat membantu skuad FAM eRimau untuk mencapai sasaran pada temasya Sukan SEA ini.

"Tambahan pula, disebabkan oleh Luqman Haziq yang bersama skuad FAM eRimau menduduki tangga ke-5 ranking dunia bagi FIFAe Nations, skuad FAM eRimau diletakkan sebagai Kategori A bagi penyertaan ke Sukan SEA 2021 ini," kata kenyataan FAM.

Skuad FAM eRimau menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya dari 25 hingga 29 April lalu dan mereka dijadual terbang ke Hanoi pada 10 Mei ini.

Bagi acara FO4 pada Sukan SEA 2021 itu nanti, saingan peringkat kelayakan akan berlangsung pada 14 Mei 2022 manakala saingan final pada 15 Mei ini dengan venue pertandingan di National Convention Center Vietnam.

Berita Harian X