Sabtu, 30 April 2022 | 7:02pm
Pemain JDT, Fernando Forestieri (kiri) diasak pemain Ulsan Hyundai FC, Won Dujae (dua, kiri) pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA

JDT atasi Ulsan 2-1

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat kali pertama selepas menundukkan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 di Iskandar Puteri, Johor, sebentar tadi.

Kemenangan manis yang penuh dramatik di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengesahkan slot ke pusingan seterusnya selaku juara Kumpulan I dengan mengumpul 13 mata.

Anak buah Benjamin Mora hanya memerlukan lima minit untuk berada di depan menerusi sepakan percuma menarik Leandro Velazquez.

Bagaimanapun, kegembiraan JDT hanya bertahan kira-kira seminit apabila Ulsan Hyundai yang juga juara ACL 2012 dan 2020, berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi rembatan deras Jun Amano.

JDT meraikan jaringan Leandro Velazquez pada minit ke-5 pada aksi Liga Juara-Juara Asia menentang Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini. - Foto ihsan FB Johor Southern Tigers.
JDT meraikan jaringan Leandro Velazquez pada minit ke-5 pada aksi Liga Juara-Juara Asia menentang Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini. - Foto ihsan FB Johor Southern Tigers.

Ketika perlawanan dilihat akan berkesudahan seri, tuah memihak JDT apabila Park Yong-Woo tertampan bola hantaran lintang Arif Aiman Hanapi ke gawang sendiri pada masa kecederaan, sekali gus menjadi jaringan emas buat skuad Harimau Selatan melangkah ke pusingan kalah mati.

Ia adalah kemenangan kedua JDT ke atas Ulsan Hyundai dalam saingan ACL kali ini selepas turut menang dengan jaringan sama pada pusingan pertama sebelum ini.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan bagi kumpulan sama, juara Jepun, Kawasaki Frontale menewaskan Guangzhou FC, 1-0 pada aksi di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos Larkin, menerusi jaringan K Chinen pada minit ke-14.

Pemain JDT, Bergson Da Silva (dua, kiri) diasak pemain Ulsan Hyundai FC, Won Dujae (kiri) pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini. - Foto BERNAMA

Berita Harian X