Sabtu, 30 April 2022 | 2:34pm
Pemain JDT, Bergson Da Silva (kiri) cuba melepasi kawalan pertahanan Ulsan Hyundai, Lee Myung Jae pada aksi ACL bagi Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim pada 18 April lalu. JDT menang 2-1 dan bakal berentap lagi dengan Ulsan jam 5 petang ini di gelanggang sama. - Foto NSTP/Nu Aisyah Mazalan.
Pemain JDT, Bergson Da Silva (kiri) cuba melepasi kawalan pertahanan Ulsan Hyundai, Lee Myung Jae pada aksi ACL bagi Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim pada 18 April lalu. JDT menang 2-1 dan bakal berentap lagi dengan Ulsan jam 5 petang ini di gelanggang sama. - Foto NSTP/Nu Aisyah Mazalan.

Aksi hidup mati JDT

KUALA LUMPUR: Aksi berdepan Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim, esok boleh dianggap sebagai 90 minit paling mendebarkan buat Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Skuad kendalian Benjamin Mora wajib menewaskan kelab gergasi Korea Selatan itu untuk mencipta sejarah meloloskan diri dari peringkat kumpulan di pentas tertinggi saingan kelab Asia buat kali pertama.

Berdasarkan reputasi, Ulsan Hyundai yang pernah muncul juara ACL pada 2012 dan 2020 tetap menjadi pilihan di atas kertas untuk memenangi perlawanan itu.

Namun, segalanya bukan mustahil kerana skuad Harimau Selatan sudah membuktikan sebelum ini bahawa mereka mampu menjinakkan juara Liga K1 dua kali itu.

Kemenangan mengejut 2-1 dilakar JDT ke atas Ulsan Hyundai yang turut digelar 'Harimau' pada aksi pusingan pertama peringkat Kumpulan I, 18 April lalu pasti menjadi sandaran untuk mereka mengulangi pencapaian sama.

Malah, Harimau Selatan juga dianggap tidak boleh melepaskan peluang keemasan untuk mencipta sejarah baharu di pentas ACL kerana memiliki skuad paling kuat berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Sentuhan berbisa Bergson Da Silva pasti akan terus diharapkan JDT untuk merobek gawang Ulsan Hyundai selain seorang lagi penyerang, Fernando Forestieri.

Namun, Bergson yang dianggap mesin gol skuad Harimau Selatan selepas meledak enam gol dalam lima perlawanan setakat ini berkemungkinan akan dirantai sepenuhnya oleh pertahanan lawan.

Keadaan itu pasti memaksa Benjamin Mora perlu memikirkan percaturan lain dari segi taktikal termasuk mungkin menjadikan pemain lain sebagai senjata rahsia untuk JDT mencari gol sekiranya pergerakan Bergson atau Forestieri terkunci.

Satu lagi perkara yang dilihat menjadi masalah buat juara lapan kali Liga Super itu adalah mereka terpaksa menempuh perlawanan terakhir kumpulan itu pada jam 5 petang, berlangsung serentak dengan satu lagi pertembungan antara Kawasaki Frontale dan Guangzhou di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Ia kali pertama JDT akan beraksi di sebelah petang selepas mengharungi lima aksi sebelum ini pada waktu malam yang menyaksikan mereka menang tiga kali, seri sekali dan kalah sekali untuk mendahului kumpulan dengan 10 mata.

Bagi Ulsan Hyundai pula, pengurusnya, Hong Myung-bo juga pasti akan melakukan sesuatu termasuk mengubah corak permainan mereka bagi mengelak kekalahan kedua di tangan skuad Harimau Selatan.

Sama seperti JDT, mereka turut memiliki peledak berbisa dari Brazil, Leo Souza yang meledak gol ketika membantu skuad itu menewaskan Kawasaki Frontale 3-2, Rabu lalu.

Berkongsi mata sama dengan Ulsan Hyundai di kedudukan kedua dan dibezakan dua mata dari pasukan tangga ketiga, Kawasaki Frontale menyaksikan hanya kemenangan yang boleh memberi tiket automatik kepada JDT melangkah ke pusingan kalah mati.

Jika Ulsan Hyundai menang, slot automatik itu akan menjadi milik mereka selaku juara kumpulan dan skuad Harimau Selatan pula perlu menunggu keputusan perlawanan antara Kawasaki Frontale dan Guangzhou bagi menentukan naib juara Kumpulan I.

Bagaimanapun, sekiranya menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua, ia belum menjamin tiket buat JDT mara kerana hanya tiga daripada lima naib juara kumpulan terbaik bagi zon Asia Timur yang akan layak ke pusingan kalah mati.

Berita Harian X