Isnin, 25 April 2022 | 12:04am
Pemain Kawasaki Frontale, Yu Kobayashi (baring) meraikan jaringannya bersama rakan ketika menentang JDT pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto BERNAMA
Pemain Kawasaki Frontale, Yu Kobayashi (baring) meraikan jaringannya bersama rakan ketika menentang JDT pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto BERNAMA

JDT tak bermaya berdepan Kawasaki Frontale

ISKANDAR PUTERI: Barisan pemain 'kedua' Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi mangsa kerakusan Kawasaki Frontale yang mudah mencipta kemenangan 5-0 pada aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Pada aksi kedua menentang juara Liga 1 Jepun (Liga J1) itu, pengendali JDT, Benjamin Mora membuat rombakan dengan membawa masuk lima pemain baharu iaitu Nathaniel Shio beraksi di posisi tengah, Safawi Rasid di posisi sayap kanan manakala Ramadhan Saifullah bergerak di posisi sayap kiri.

Bienvenido Maranon yang kerap diturunkan beraksi bersama Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada aksi Liga Perdana turut tersenarai dan Mora juga menurunkan buat pertama kali Maurico Nascimento bergandingan bersama Shane Lowry mengemudi benteng JDT.

Anak didik Oniki yang begitu dahaga memburu kemenangan tatkala mahu menebus kekecawaan pada aksi pertama berjaya memecah kebuntuan gol pada minit ke-14 selepas bola sepakan percuma Yasuto Wakizaka tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Kelibat Mauricio hanya bertahan selama 20 minit permainan apabila dikeluarkan selepas mengalami kecederaan dan Aidil Zafuan Abd Radzak dimasukkan bagi mengukuhkan semula benteng skuad Harimau Selatan.

Kawasaki Frontale terus menghukum benteng JDT menerusi gerakan menarik di posisi sayap kanan pada minit ke-31 selepas bola umpanan Akhiro Ienaga tepat kepada Yu Kobayashi yang menolak bola ke gawang terbuka luas tatkala Farizal sudah tertewas.

Pemain JDT, Nathaniel Shio menanduk bola dengan dicabar pemain Kawasaki Yu Kobayashi pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto BERNAMA
Pemain JDT, Nathaniel Shio menanduk bola dengan dicabar pemain Kawasaki Yu Kobayashi pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto BERNAMA

Pemain JDT, Safawi Rashid mengawal bola dengan dicabar pemain Kawasaki Frontale, Shintaro Kurumaya pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto BERNAMA

Entah apa yang dipamerkan benteng JDT yang mudah menjadi lubuk buat anak didik Oniki menjaringkan gol apabila gerakan Ienaga yang melakukan sepakan lintang pada mini ke-43 tepat kepada Kobayashi yang tidak dikawal merembat kencang menewaskan Farizal.

Apa dirancang Mora membawa masuk lima pemain yang kerap memanaskan bangku simpanan dengan harapan mampu mengimbangi Kawasaki Frontale ternyata meleset selepas kelab dari Jepun itu selesa menamatkan babak pertama dengan 3-0.

Bersambung babak kedua, Mora memasukkan Ahmad Hazwan Bakri dan Nazmi Faiz Mansor bagi mengubah nasib JDT mengharungi baki 45 minit perlawanan dan mengundang cemas benteng Kawasaki Frontale selepas bola sepakan lencong Nazmi Faiz pada minit ke-52 sempat dikuis keluar penjaga gol, Jung Sung-ryong.

Kawasaki Frontale menambah derita JDT pada minit ke-81 selepas Chanathip Songkrasin bijak melorongkan bola tepat kepada pemain gantian Marcio Barbaso yang melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kiri gawang.

Chanathip melengkapkan kemenangan bergaya Kawasaki Frontale ketika aksi berbaki dua minit untuk ditamatkan selepas merembat bola ketika berada di dalam kotak penalti untuk menoktahkan kedudukan 5-0 memihak kelab dari Jepun itu.

Pemain JDT, Fernando Forestieri dikawal ketat dua pemain Kawasaki Frontale, Ten Miyagi dan Kento Tachibanada pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto BERNAMA

Pemain JDT, Safawi Rashid berjaya melepasi dua pemain Kawasaki Frontale, Chanathip Songkrasin dan Asahi Sasaki pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto BERNAMA

Sementara itu, Juara ACL musim 2021, Ulsan Hyundai dari Korea Selatan melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah Guangzhou FC 5-0 pada aksi di Stadiun Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, petang tadi.

Pada aksi Rabu lalu, skuad bimbingan Hong Myong-bo menang ke atas anak didik Pan Yong He 3-0 dan aksi pusingan kedua itu kelab dari Korea Selatan itu mencipta gol menerusi Yun Il-lok seawal minit keempat dab Mark Koszta pada minit ke-54.

Ia disusuli jaringan Valeri Qazaishvili (m-64), Jun Amano (m-73) dan Seol Young-woo lima minit sebelum tamat perlawanan seterusnya melengkap kemenangan bergaya Ulsan Hyundai.

Keputusan

• Guangzhou FC 0 - 5 Ulsan Hyundai

• Johor Darul Ta'zim 0 - 5 Kawasaki Frontale

Berita Harian X