Khamis, 7 April 2022 | 9:12pm
Diego Maradona menjaringkan gol terkenal “Hand of God” ketika aksi suku akhir Piala Dunia 1986 menentang England. - Foto AGENSI
Diego Maradona menjaringkan gol terkenal “Hand of God” ketika aksi suku akhir Piala Dunia 1986 menentang England. - Foto AGENSI
Bekas pemain tengah England Steve Hodge melelong jersi yang didakwa dipakai Diego Maradona ketika menjaringkan gol “Hand of God”. - Foto AGENSI
Bekas pemain tengah England Steve Hodge melelong jersi yang didakwa dipakai Diego Maradona ketika menjaringkan gol “Hand of God”. - Foto AGENSI

Bukan jersi babak kedua - Dalma

BUENOS AIRES: Anak perempuan Diego Maradona mendakwa jersi Argentina milik bapanya yang akan dilelong akhir bulan ini bukan jersi yang dipakai legenda itu ketika menjaringkan dua gol dalam aksi menentang England pada suku akhir Piala Dunia 1986.

Semalam bekas pemain tengah England Steve Hodge melelong jersi berkenaan dalam talian dan turut akan dipamerkan di London dari 20 April hingga 4 Mei sepanjang tempoh bidaan.

Anak Maradona, Dalma berkata: "Bekas pemain England itu fikir dia memiliki jersi babak kedua bapa saya tetapi ada kekeliruan di situ. Dia memiliki jersi babak pertama. Saya mahu menjelaskannya supaya mereka yang membelinya tahu."

Ketika ditanya siapa yang memiliki jersi babak kedua, Dalma berkata: "Ia tiada pada emak saya. Saya tahu siapa yang memilikinya tetapi saya tidak akan beritahu kerana tidak mahu mendedahkan orang itu.

"Apa yang boleh saya beritahu ialah jersi yang dilelong bukan jersi yang dipakai bapa saya ketika menjaringkan gol."

Selepas terikat 0-0 di babak pertama dalam aksi di Mexico City, Maradona meledak dua gol dalam tempoh empat minit di awal babak kedua untuk mengejutkan England.

Gol pertama dijaringkan menggunakan tangan dan dikenali sebagai gol "Hand of God" dan gol kedua hasil gerakan solo Maradona dari tengah padang. Argentina menang 2-1 dan kemudian memenangi Piala Dunia edisi berkenaan. - AGENSI

Berita Harian X