Khamis, 7 April 2022 | 12:15am
Rodney meraikan jaringannya ketika menentang Sri Pahang di Stadium Darul Aman. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Rodney meraikan jaringannya ketika menentang Sri Pahang di Stadium Darul Aman. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Rodney wira Kedah

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menewaskan Sri Pahang FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Pemain pertahanan, Rodney Celvin muncul wira skuad Kenari apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan sekali gus memastikan Kedah mengutip mata penuh di laman sendiri.

Kedah memberi amaran awal apabila mengancam gawang pelawat pada minit ketujuh dan kesembilan melalui percubaan kapten pasukan, Syazwan Zainon yang bertindak pantas dalam kotak penalti namun percubaannya gagal menewaskan penjaga gol tinggi lampai Mamadou Samassa.

Ini disusuli beberapa gerakan yang dilancarkan kedua-dua pasukan untuk memburu gol pembukaan namun gagal membuahkan hasil.

Bagaimanapun, kemasukan penyerang, Syafiq Ahmad pada babak kedua berjaya menukar rentak Kedah apabila Fayadh Zulkifli hampir membolosi gawang Sri Pahang pada minit ke-48 melalui larian solo sebelum percubaannya tersasar ke kiri gawang lawan.

Reaksi Rodney selepas meledak gol ketika menentang Sri Pahang. - Foto FB Kedah Darul Aman FC
Reaksi Rodney selepas meledak gol ketika menentang Sri Pahang. - Foto FB Kedah Darul Aman FC

Usaha Kedah mencari gol akhirnya berjaya pada minit ke-54 apabila bola tandukan Syafiq gagal ditangkap kemas Mamadou Samassa dan kesempatan itu diambil Rodney Celvin yang bertindak pantas meletakkan bola ke gawang lawan.

Sri Pahang cuba bangkit dengan melancarkan serangan melalui pemain import dari Jordan Mahmoud Saleem yang melakukan percubaan pada minit ke-68 namun tersasar ke bahagian kiri gawang Kedah.

Kedah hampir menambah gol kedua melalui Syafiq pada minit ke-84 dan 88 namun peluang itu gagal disempurnakan penyerang berkenaan.

Berita Harian X