Khamis, 31 March 2022 | 12:38pm
Hamidin (tengah barisan belakang) bersama kepimpinan AFC yang bermesyuarat di Doha semalam.
Hamidin (tengah barisan belakang) bersama kepimpinan AFC yang bermesyuarat di Doha semalam.

AFC tubuh Pasukan Petugas Pertandingan Kelab Elit

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Pertandingan Kelab Elit yang bakal dianggotai beberapa negara.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan cadangan itu sebagai langkah yang baik untuk membawa pertandingan kelab elit ke peringkat lebih tinggi khususnya dalam memacu nilai komersial.

"AFC sememangnya sentiasa komited untuk meningkatkan taraf pertandingan dan perlawanan di Asia untuk dimanfaat ahli gabungan agar dapat membawa kejayaan lebih baik sekali gus melakar masa depan lebih cerah," kata Hamidin yang menyertai mesyuarat AFC di Doha, semalam.

Mesyuarat terbabit dipengerusikan Presiden AFC, Shaikh Salman Ibrahim Al Khalifa dan hadir sama adalah Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Windsor John.

Sebagai rekod, Pasukan Petugas Pertandingan Kelab Elit itu akan dianggotai Persatuann Bolasepak Australia, Persatuan Bola Sepak China, Persatuan Bola Sepak Jepun dan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan yang mewakili Wilayah Timur.

Wilayah Barat pula akan diwakili Persatuan Bola Sepak Qatar, Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi, Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu dan Persatuan Bola Sepak Uzbekistan.

Pasukan Petugas Pertandingan Kelab Elit akan melaporkan cadangan dan kertas kerja kepada Jawatankuasa Pertandingan AFC dan seterusnya kepada Jawatankuasa Eksekutif dalam beberapa bulan akan datang.

Dalam mesyuarat sama, Jawatankuasa Eksekutif AFC juga mengesahkan keputusan Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai AFC untuk meminda Peraturan Pertandingan Piala Asia Futsal AFC 2022 dan Kejohanan Kelab Futsal AFC 2022.

Selain itu, cadangan pindaan kepada Statut AFC yang akan dibentangkan untuk kelulusan pada Kongres AFC ke-32 pada 18 Mei nanti turut diluluskan dalam mesyuarat terbabit.

Berita Harian X