Khamis, 31 March 2022 | 9:36am
Ruud van Nistelrooy (kiri) dilantik sebagai pengendali baharu kelab Belanda PSV Eindhoven. - Foto AGENSI
Ruud van Nistelrooy (kiri) dilantik sebagai pengendali baharu kelab Belanda PSV Eindhoven. - Foto AGENSI

Van Nistelrooy pengendali baharu PSV

THE HAGUE: Bekas penyerang Manchester United dan Real Madrid, Ruud van Nistelrooy dilantik sebagai pengendali baharu kelab Belanda PSV Eindhoven, menggantikan Roger Schmidt yang tidak memperbaharui kontraknya.

Van Nistelrooy, yang bersara daripada bermain pada tahun 2012 selepas bersama Malaga di La Liga, sudah melatih skuad bawah 19 dan 21 tahun PSV sejak tiga musim lalu.

"Memang impian saya untuk menjadi ketua jurulatih di PSV. Ini adalah saat terbaik untuk mengambil langkah seterusnya," kata Nistelrooy yang meledak 62 gol dalam 67 perlawanan untuk PSV dari tahun 1998 hingga 2001.

Van Nistelrooy, 45, yang turut meledak 35 gol dalam 70 penampilannya untuk Belanda, menyertai barisan kejurulatihan Belanda di bawah Frank de Boer ketika Euro 2020.

Dia juga mempunyai pengalaman sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan Belanda dari tahun 2014 hingga 2016.

"Kami mengesahkan yang Ruud van Nistelrooy adalah pengendali baharu kami. Dia seorang yang kuat, pemimpin yang berinspirasi, komitmen dan etika kerjanya di tahap tertinggi," kata pengarah bola sepak PSV John de Jong.

PSV kini di tangga kedua di belakang Ajax dalam saingan Liga Belanda.

Sementara itu media Portugal melaporkan Schmidt bakal menandatangani perjanjian dengan Benfica, yang awal bulan ini mengejutkan Ajax dengan gol minit akhir untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah. - AFP

Berita Harian X