Selasa, 15 March 2022 | 10:43am
Penyerang Barcelona Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol ketika aksi LaLiga menentang Osasuna di Camp Nou. - Foto AFP
Penyerang Barcelona Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol ketika aksi LaLiga menentang Osasuna di Camp Nou. - Foto AFP

Aubameyang setaraf legenda Barcelona

BARCELONA: Pierre-Emerick Aubameyang menyertai senarai penjaring hebat Barcelona selepas turut menemui sasaran ketika kemenangan 4-0 ke atas Osasuna.

Penyerang Gabon itu berpindah ke kelab gergasi LaLiga berkenaan pada jendela perpindahan Januari lalu selepas Arsenal bersetuju menamatkan kontraknya.

Aubameyang sebelum ini tercicir daripada skuad utama Arsenal dan digugurkan daripada jawatan kapten oleh pengendali Mikel Arteta.

Pemain 32 tahun itu menampilkan prestasi cemerlang sebaik tiba di Camp Nou, menjaringkan enam gol dalam sembilan perlawanan di semua pertandingan.

Ketika menentang Osasuna Ahad lalu, dia menjaringkan gol LaLiga kelimanya dalam enam penampilan.

Jaringan berkenaan menjadikannya pemain Barcelona pertama menjaringkan lima gol dalam enam aksi pertama liga sejak Zlatan Ibrahimovic pada tahun 2009.

Pemain lain yang pernah melakukannya termasuk legenda Brazil Ronaldo dan Romario, serta Johan Cruyff.

Selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika kemenangan 4-2 Barcelona ke atas Atletico Madrid bulan lalu, dia meledak hatrik pada permulaan pertamanya ketika menewaskan Valencia 4-1.

Kemudian Aubameyang sekali lagi menemui sasaran ketika kemenangan ke atas Athletic Bilbao.

Selepas mengharungi permulaan musim paling buruk sejak tahun 1987 di bawah kendalian Ronald Koeman, Barcelona bangkit bersama legenda kelab, Xavi yang menggantikan Koeman.

Pengendali dari Sepanyol itu membawa Barca dari kedudukan pertengahan liga ke tangga ketiga.

Sejak penampilan sulung Aubameyang di LaLiga, Barcelona memenangi lima perlawanan dan menjaringkan empat gol sebanyak empat kali.

Seorang lagi pemain yang dibeli pada Januari dan memberi impak ialah pemain sayap Manchester City Ferran Torres. Dia kini sudah meledak tiga gol dalam dua penampilan liga terakhirnya. - AGENSI

-Barcelona's Gabonese midfielder Pierre-Emerick Aubameyang scores a goal during the Spanish league football match between FC Barcelona and CA Osasuna at the Camp Nou stadium in Barcelona on March 13, 2022. (Photo by Josep LAGO / AFP)

Berita Harian X