Isnin, 14 March 2022 | 7:24pm
Aksi pemain PJ City (jersi biru) ketika menentang Kelantan FC dalam saingan pusingan pertama Piala FA di Stadium MPBJ semalam. PJ City menang 2-1 termasuk satu menerusi jaringan secara tandukan terbang P Rajes. - Foto BERNAMA.
Aksi pemain PJ City (jersi biru) ketika menentang Kelantan FC dalam saingan pusingan pertama Piala FA di Stadium MPBJ semalam. PJ City menang 2-1 termasuk satu menerusi jaringan secara tandukan terbang P Rajes. - Foto BERNAMA.

Maniam terkejut jaringan 'tandukan terbang' Rajes

KUALA LUMPUR: Pengendali PJ City FC, P Maniam nyata terkejut dengan aksi pemain veterannya, P Rajes yang melakukan akrobatik untuk meledak gol kemenangan ketika berdepan Kelantan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Tandukan terbang yang dilakukan pemain berusia 37 tahun itu membolehkan skuad Phoenix bangkit dari ketinggalan satu gol untuk mengubah keputusan kepada 2-1 sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kedua Piala FA.

"Kita menukar Rajes dan pada usia 37 tahun, dia boleh menjaringkan gol dengan tandukan terbang. Ia sesuatu yang saya tidak jangkakan. Dia berada pada posisi yang tepat dan menyudahkan hantaran S Kumaahran.

"Saya gembira dengan kemenangan ini kerana Kelantan FC adalah pasukan yang sukar dan dibarisi pemain yang berkualiti. Saya rasa mereka boleh pergi jauh dalam saingan Liga Perdana pada musim ini.

"Pemain memang bekerja keras selepas tewas 3-1 tangan Sabah FC sebelum ini dan mentaliti mereka memang terbaik untuk aksi malam ini," kata Maniam.

Sementara itu, jurulatih skuad The Red Warriors (TRW), Rezal Zambery Yahya mengakui perancangan yang dilakukan untuk berdepan PJ City FC tidak begitu menjadi pada perlawanan terbabit.

Malah, situasi turut diburukkan dengan beberapa kesilapan yang dilakukan sekali gus menjadi antara punca yang menyebabkan mereka tumbang.

"Pemain perlu perbaiki kelemahan yang ada terutamanya selepas kita mendahului perlawanan. Kita ada potensi yang menyaingi lawan tetapi kita dihukum dengan kesilapan yang dilakukan.

"Memang agak kecewa kerana kita ada banyak peluang yang sepatutnya dimanfaatkan. Apabila berada dalam situasi genting sebegini, peluang perlu diterjemahkan supaya kita lebih selesa dan boleh merancang taktikal yang lain.

"Apapun, tiada nasib untuk kita teruskan perjalanan dalam Piala FA pada musim ini," katanya.

Berita Harian X