Ahad, 13 March 2022 | 11:16pm
Pemain PJ City FC, Darren Yee Deng Lok meraikan jaringan pertama pasukannya pada minit ke-24 pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium MBPJ, malam tadi. PJ City menang 2-1 sekali gus mara ke pusingan kedua. - Foto BERNAMA.

PJ City singkir Kelantan FC

PETALING JAYA: Kelantan FC tersingkir awal dari saingan Piala FA musim ini selepas tumpas 1-2 kepada Petaling Jaya City (PJ City) dalam saingan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, sebentar tadi.

Kelantan yang juga juara Piala FA pada musim 2012 dan 2013 terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-18 hasil jaringan Fadel Antar yang menampan masuk bola hantaran Nixon Guylherme.

Namun, kelebihan dimiliki The Red Warriors (TRW) hanya bertahan kira-kira enam minit apabila penyerang berbisa PJ City, Darren Lok meledak gol penyamaan.

Perlawanan sengit dipamerkan kedua-dua pasukan pada babak kedua dengan Kelantan mendapat peluang terbaik untuk menambah jaringan pada minit ke-73, namun Kervens Belfort gagal melakukan penyudah sempurna di depan gol.

Sebaliknya, PJ City berjaya berada di depan pada minit ke-79 menerusi jaringan Rajes Perumal dan ia menjadi gol kemenangan untuk membawa skuad kendalian P Maniam ke peringkat seterusnya.

Berita Harian X