Rabu, 9 March 2022 | 10:22pm
Pemain JDT Fernando Forestieri meraikan jaringan bersama Bergson Da Silva ketika menentang Sarawak United FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto Bernama
Pemain JDT Fernando Forestieri meraikan jaringan bersama Bergson Da Silva ketika menentang Sarawak United FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto Bernama

JDT belasah Sarawak 6-0

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali menunjukkan taring sebenar selepas membelasah pendatang baharu, Sarawak United FC 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini, sebentar tadi.

Selepas aksi kurang konsisten ketika menentang Penang FC apabila sekadar menang tipis 1-0 Jumaat lalu, JDT tampil dengan lebih mantap apabila menguasai keseluruhan permainan.

Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva masing-masing menyumbang dua gol selain jaringan Carli De Murga dan Safawi Rasid memastikan skuad Harimau Selatan melakar kemenangan kedua berturut-turut.

Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri) melakukan tendangan dengan dihadang pertahanan Sarawak United FC, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto Bernama
Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri) melakukan tendangan dengan dihadang pertahanan Sarawak United FC, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto Bernama

Pada pertembungan itu, perubahan taktikal dilakukan pengendali JDT, Benjamin Mora apabila menyenaraikan semula Leandro Velazquez dan Nazmi Faiz Mansor bagi menguatkan jentera tengah selain kelibat Natxo Insa dalam usaha memburu kemenangan kedua.

Dengan membentuk formasi 4-3-3, anak didik Mora sudah mendahului pada minit ke-15 apabila serangan balas skuad Harimau Selatan membuahkan hasil selepas Nazmi Faiz bertindak pantas melorongkan bola kepada Forestieri yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti lawan sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kiri gol menewaskan Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Sentuhan berbisa Bergson menjadi igauan ngeri buat skuad Kenyalang Emas pada minit ke-39 selepas bermula daripada bola sepakan lintang Ariff Aiman Mohd Hanapi menyaksikan penjaring terbanyak Liga Malaysia musim lalu itu melakukan sepakan kencang menewaskan Sharbinee untuk meletak tuan rumah selesa mendahului 2-0 pada babak pertama.

Pemain JDT, Fernando Martin Forestieri (kanan) mengasak pertahanan Sarawak United FC, Ganzalo Manuel Soto pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto Bernama
Pemain JDT, Fernando Martin Forestieri (kanan) mengasak pertahanan Sarawak United FC, Ganzalo Manuel Soto pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto Bernama

Bersambung babak kedua, Sarawak cuba melakukan kebangkitan bagi merapatkan jurang gol tapi penguasaan tengah tuan rumah tampak menyukarkan pasukan pelawat melepasi kawalan De Murga dan Lowry.

Malang buat Sarawak apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-61 selepas pemain gantian, Raja Imran Shah Raja Amin dilayangkan kad kuning kedua dan disusuli kad merah oleh pengadil, Zulkarnain Zakaria kerana mengasari Safawi.

Kesempatan itu diguna sepenuhnya tuan rumah untuk mencipta gol ketiga perlawanan pada minit ke-63 selepas bola sepakan percuma Forestieri yang sekadar melorongkan bola di posisi sayap kanan memerangkap benteng pasukan pelawat menyaksikan Bergson yang tidak dikawal mudah merembat bola untuk mencetak gol kedua peribadi.

Ketika aksi berbaki 17 minit untuk ditamatkan skuad Harimau Selatan menambah derita pasukan pelawat selepas bola sepakan sudut Ariff Aiman membolehkan De Murga yang tidak dikawal menanduk bola rendah tepat ke penjuru kanan gol.

Safawi tidak terkecuali mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-81 selepas menyudahkan bola umpanan Bergson dan selang empat minit, Forestieri kembali mengganas apabila mencetak gol kedua peribadi untuk memastikan JDT `makan besar'.

Berita Harian X