Rabu, 9 March 2022 | 5:55pm
SOP kemasukan penyokong ke stadium masih kekal sekalipun bermula 1 April had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti perkumpulan ramai dimansuhkan.
SOP kemasukan penyokong ke stadium masih kekal sekalipun bermula 1 April had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti perkumpulan ramai dimansuhkan.

SOP kemasukan penyokong ke stadium kekal

KUALA LUMPUR: Sekalipun negara memasuki fasa 'Peralihan ke Endemik' bermula 1 April yang menyaksikan had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti perkumpulan ramai dimansuhkan, prosedur operasi standard (SOP) kemasukan penyokong ke stadium kekal seperti biasa buat masa ini.

Perkembangan itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam namun dia menjelaskan perubahan SOP itu akan tertakluk kepada pindaan kerajaan selepas ini.

"SOP kemasukan penonton ke stadium masih kekal seperti biasa sebelum pindaan dilakukan sebaik menerima SOP terbaru daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Saya sudah menghubungi KBS dan buat masa ini, KBS masih menunggu SOP lengkap daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ketika ini, SOP kemasukan penonton ke stadium masih kekal seperti biasa sehingga MFL menerima pindaan terbaru daripada pihak kerajaan sebelum 1 April 2022 nanti.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya pihak kerajaan di mana saya percaya pelan perancangan pembukaan semula negara secara selamat dan berperingkat ini bakal menjadi satu pembakar semangat terutama sektor sukan bola sepak pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob mengenai peralihan fasa itu dan pelan pemulihan negara jelas berada pada landasan yang terbaik.

Justeru, Ghani berharap industri yang menjana ekonomi negara khususnya sukan bola sepak dapat kembali beroperasi seperti biasa.

"MFL mahu merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KBS yang selama ini sentiasa menyokong dan mendukung perjalanan bola sepak negara khususnya Liga Malaysia sepanjang pandemik COVID-19 melanda.

"Sudah pasti MFL menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman perancangan pembukaan semula negara secara selamat dan berperingkat yang disempurnakan oleh Perdana Menteri dalam satu sidang media semalam.

"Ini menunjukkan Malaysia sedang berada di dalam proses pemulihan daripada pandemik yang beralih fasa ke endemik bermula 1 April 2022 dan sudah pasti orang ramai menantikan pengumuman ini di mana saya percaya inilah titik kebangkitan seluruh rakyat Malaysia," kata Ghani.

Berita Harian X