Ahad, 6 March 2022 | 5:01pm
Pemain PJ City FC, S Kumaahran meraikan golnya ketika menentang Melaka United FC pada aksi pertama Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam tadi. - FOTO BERNAMA
Pemain PJ City FC, S Kumaahran meraikan golnya ketika menentang Melaka United FC pada aksi pertama Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam tadi. - FOTO BERNAMA

Vidakovic sudah jangka kalah

KUALA LUMPUR: Aksi 'lemau' yang diperagakan Melaka United yang menyebabkan mereka dikejutkan pasukan 'lokal', PJ City FC 1-0 malam tadi sememangnya sudah dijangkakan pengendalinya, Risto Vidakovic.

Ini kerana pengendali dari Bosnia Herzegovina itu mengakui anak buahnya akan bergelut untuk mengharungi permulaan musim ini memandangkan mereka belum berada pada tahap yang benar-benar terbaik ketika ini.

"Kita memulakan pramusim agak lambat dan liga bermula awal. Kita akan menghadapi masalah kerana banyak pemain yang datang lambat ke pasukan. Pemain import kita pun baru datang 10 hari sebelum liga bermula.

"Banyak muka baharu juga yang menyertai pasukan dan buat masa ini, prestasi pasukan jauh daripada apa yang kita mahukan. Untuk malam ini (kelmarin), pemain tidak bermain secara berpasukan, jadi banyak yang perlu kita perbaiki.

"Ia sedikit sukar apabila pasukan mengharungi dua aksi di tempat lawan tetapi sudah tentu kita perlu mengambil pengajaran daripada kekalahan ini kalau mahu menjadi pasukan yang lebih baik," katanya.

Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) itu, skuad Kancil yang diperkasa lima pemain import termasuk penjaring terbanyak Liga Super dua musim berturut turut, Ifedayo Olusegun tidak mempunyai jawapan untuk merobek gawang tuan rumah.

Skuad 'Phoenix' yang dibarisi sepenuhnya anak tempatan itu tampil sebagai pemenang apabila jaringan S Kumaahran pada babak pertama membolehkan mereka membuka kempen musim ini dengan tiga mata.

Sementara itu, jurulatih PJ City FC, P Maniam mengakui semangat berpasukan yang ditunjukkan anak buahnya menjadi antara faktor mereka berjaya mencatat kemenangan pada aksi terbabit.

"Melaka adalah pasukan yang kuat dan bukan senang untuk menentang mereka. Saya lihat semangat pemain sangat tinggi dan mereka bermain sebagai satu pasukan sehingga bertungkus lumus memberikan persembahan yang luar biasa.

"Bukan sahaja kepada Kumaahran, Darren Lok atau Mahali (Jasuli), malah semua pemain turut menunjukkan persembahan yang terbaik," katanya.

Berita Harian X