Sabtu, 5 March 2022 | 11:06pm
Pemain PJ City FC, Darren Yee Deng Lock membuat cubaan ke gawang Melaka United FC pada aksi pembukaan Liga Super di Stadium MBPJ malam tadi. - Foto BERNAMA.
Pemain PJ City FC, Darren Yee Deng Lock membuat cubaan ke gawang Melaka United FC pada aksi pembukaan Liga Super di Stadium MBPJ malam tadi. - Foto BERNAMA.

PJ City bikin Melaka United gigit jari

PETALING JAYA: Skuad yang dibarisi sepenuhnya pemain tempatan, PJ City FC membuka kempen musim ini dengan langkah kanan apabila menewaskan Melaka United FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, sebentar tadi.

Meskipun pelawat turun dengan lima pemain import termasuk Ifedayo Olusegun, benteng pertahanan PJ City FC berjaya merantai penjaring terbanyak Liga Super musim lalu itu daripada membolosi gawang mereka.

Aksi 30 minit pertama berlangsung hambar apabila tiada percubaan yang benar-benar berbahaya dan penjaga gol kedua-dua pasukan tampak lebih banyak 'berehat' sepanjang tempoh terbabit.

Kegagalan pelawat menyudahkan gerakan pada minit ke-41 mengundang padah apabila PJ City FC memanfaatkan peluang terbabit untuk melancarkan serangan balas pantas sekali gus memperolehi gol pertama.

Hantaran jauh Mahali Jasuli ditanduk Darren Lok yang kemudiannya tiba kepada S Kumaahran dan penyerang itu melakukan voli untuk menewaskan Norazlan Razali.

PJ City FC seharusnya menamatkan babak pertama dengan kedudukan 2-0 namun percubaan Kumaahran di depan pintu gol Melaka United mudah ditangkap Norazlan di penghujung babak pertama.

Babak kedua menyaksikan Melaka United terus buntu untuk mendapatkan gol penyamaan sekali gus membolehkan PJ City FC mengutip tiga mata pertama di laman sendiri.

Berita Harian X