Sabtu, 26 Februari 2022 | 11:22pm
Pemain JDT meraikan kejayaan menjuarai Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menewaskan KL City FC 3-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, malam tadi. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan.
Pemain JDT meraikan kejayaan menjuarai Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menewaskan KL City FC 3-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, malam tadi. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan.

JDT juara lagi, TMJ tak jadi bersara

ISKANDAR PUTERI, Johor: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali kelima berturut-turut selepas menjinakkan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 3-0 pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu tentunya melegakan skuad Harimau Selatan dan penyokong mereka kerana pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah pasti tidak akan bersara seperti diumumkan semalam.

Tunku Ismail menerusi akaun Instagram miliknya semalam menyatakan hasrat untuk bersara daripada aktiviti bola sepak sekiranya skuad Harimau Selatan itu kecundang buat kali kedua kepada KL City FC pada perlawanan Sumbangsih malam tadi.

Pemain JDT, Nazmi Faiz meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. JDT menang 3-0. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pemain JDT, Nazmi Faiz meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. JDT menang 3-0. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

JDT tewas 2-0 kepada skuad Bojan Hodak pada aksi final Piala Malaysia musim lalu.

Dengan mengekalkan formasi 3-4-3 seperti pada aksi final Piala Malaysia musim lalu, skuad Harimau Selatan tampak menguasai perlawanan apabila kerap mengasak ke kubu KL City menerusi beberapa percubaan Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri.

Seawal minit ketujuh tuan rumah menghadirkan cemas buat benteng pelawat selepas rembatan deras Leandro Velazquez hanya sipi di penjuru kanan gawang tatkala penjaga gol, Kevin Mendoza sudah tertewas.

Percubaan Ariff Aiman Hanapi pada minit ke-22 juga gagal mencipta jaringan walaupun berjaya menggelecek tiga pemain KL City FC sebelum merembat kencang dari luar kotak penalti, namun bola hanya melewati palang gol.

Akhirnya gol yang dinanti JDT menjelma pada minit ke-26 selepas bola hantaran Ariff Aiman daripada kanan selepas bijak mengelirukan Declan Lambert sebelum menyepak bola tepat kepada Nazmi Faiz Mansor yang menanduk bola ke penjuru kanan gawang menewaskan Mendoza.

Tuan rumah terus menghukum kealpaan benteng anak didik Hodak pada minit ke-31 apabila bola lorongan Da Silva membuka ruang buat Forestieri bertindak melencong bola ke penjuru kiri gawang buat menewaskan Mendoza untuk meletak JDT selesa mendahului 2-0.

Bersambung babak kedua, KL City FC tampak bermula garang apabila mula mengasak ke kubu JDT dalam usaha merapatkan jurang gol, namun bola tandukan Kevin Koubemba pada minit ke-46 terus kedakapan penjaga gol, Farizal Marlias.

Da Silva hampir mencipta jaringan pada minit ke-75 namun bola rembatan leret yang tepat ke penjuru kanan gol sempat di tepis Mendoza bagi mengelak gawangnya di bolosi kali ketiga.

Ketika aksi berbaki enam minit untuk ditamatkan pemain gantian, Afiq Fazail meranapkan sisa perjuangan KL City FC apabila melakukan sepakan voli di luar kotak penalti menyaksikan Mendoza tergamam melihat bola menerjah jaringan.

Kedudukan 3-0 yang memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan.

Berita Harian X