Jumaat, 25 Februari 2022 | 9:18pm
Gambar fail - Imbas kembali pemain Perak FC, Sergio Fabian (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam aksi Liga Super menentang Melaka United FC di Stadium Hang Jebat, Melaka, musim lalu. - Foto NSTP/Syafeeq Ahmad.
Gambar fail - Imbas kembali pemain Perak FC, Sergio Fabian (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam aksi Liga Super menentang Melaka United FC di Stadium Hang Jebat, Melaka, musim lalu. - Foto NSTP/Syafeeq Ahmad.

Perak FC sah tanding dengan barisan utama

IPOH: Perak FC mengesahkan ia akan bertanding dalam saingan Liga Perdana musim ini dengan menurunkan barisan utamanya selaras dengan usaha mentransformasikan kelab berkenaan secara menyeluruh dibawah pengurusan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yunus Zakaria berkata sekatan mendaftar pemain baharu tidak menghalang kelab itu mengekalkan lesennya untuk menyertai Liga Malaysia (Liga M) selain diberi kebenaran menurunkan hanya pemain asal yang diluluskan sebelum ini.

"Perak FC mengesahkan barisan pemain utamanya, sekaligus menetapkan kedudukan kelab ini sebagai satu daripada pencabar dalam musim Liga M yang bakal menjelang.

"Penyertaan Perak FC adalah sebahagian daripada komitmen kelab ke arah transformasi menyeluruh dan pembaharuan di bawah pengurusan baharu, Impact Media and Communication (IMC).

"Penyertaan kelab adalah sejajar dengan proses transformasi untuk mempertingkatkan prestasinya, dengan sasaran utama menjadikan Perak FC sebagai sebuah kelab yang stabil dan berjaya di Malaysia dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, bekas Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh dilaporkan berkata setakat Rabu lalu belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Perak FC mengenai status serta persiapan pasukan itu.

Muhammad Yunus berkata Perak FC akan menurunkan 20 pemain musim ini dengan barisan hadapan bakal menampilkan pemain berpotensi termasuk Royizzat Daud, Khairul Syafiq dan penyerang, Alif Zikri.

"Jika diizinkan, kami ingin menurunkan susunan yang lebih kompetitif kerana kami percaya ia akan memberi kelebihan dalam Liga M ini. Bagaimanapun barisan permulaan kami ini tidak boleh dipandang sebelah mata kerana kami memang bersemangat untuk bertanding.

"Kami sudah mempunyai rancangan untuk mendaftarkan jadual penuh pemain semasa tempoh perpindahan pemain dibuka dalam bulan Mei ini. Kami komited menyelesaikan semua isu tertangguh dan semua tunggakan," katanya.

Sekatan dikenakan ke atas Perak FC oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan pengambilan pemain baharu sama ada pemain import mahupun tempatan timbul susulan kegagalan menjelaskan hutang tunggakan gaji RM1.7 juta.

Pemain Perak FC yang didaftarkan bagi musim ini adalah pemain yang dipromosi daripada Piala Belia dan Piala Presiden selain pemain yang kontraknya dilanjutkan.

Musim ini, Perak FC akan berentap dengan sembilan pasukan lain dalam Liga Perdana iaitu Johor Darul Ta'zim II, Skuad Projek FAM-MSN, Kelantan FC, Kelantan United FC, Kuching City FC, PDRM FC, Selangor FC II, Terengganu FC II dan UiTM FC.

Berita Harian X