Khamis, 10 Februari 2022 | 8:24pm
Presiden SAFA, Datuk Bung Moktar Radin bersama Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan MSN, Mohd Sabrus Sahar Yusof (kanan) pada sidang media selepas menandatangani perjanjian kerjasama di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto BERNAMA
Presiden SAFA, Datuk Bung Moktar Radin bersama Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan MSN, Mohd Sabrus Sahar Yusof (kanan) pada sidang media selepas menandatangani perjanjian kerjasama di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto BERNAMA

SAFA, MSN jalin kerjasama bangunkan bola sepak Sabah

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi pembangunan dan memajukan sukan bola sepak di negeri itu.

Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata melalui MoU berkenaan, SAFA dan MSN akan bekerjasama melaksanakan beberapa program mencungkil bakat baharu sukan bola sepak negeri.

"Sebelum ini program berkenaan dilaksanakan oleh SAFA sendiri. Sekiranya ada kerjasama daripada MSN, kita akan ada bantuan dari segi dana termasuk tenaga mahir dalam usaha membangunkan bola sepak di Sabah," katanya selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.

Dalam majlis itu, SAFA diwakili Bung Moktar dan MSN oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Sukannya, Mohd Safrushahar Yusoff.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata mengikut perancangan yang ditetapkan, pembangunan sukan bola sepak di Sabah akan bermula daripada peringkat daerah di seluruh negeri.

"Kita akan mencari pemain bermula daripada peringkat remaja untuk digilap dan sudah tentu MSN mempunyai kepakaran mencari bakat baharu yang benar-benar berkualiti," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X