Selasa, 8 Februari 2022 | 6:54pm
 Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail ketika Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Malaya di KLIA. -FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail ketika Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Malaya di KLIA. -FOTO MOHD FADLI HAMZAH

FAM tak buat pusingan U

SEPANG: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih meneruskan hasrat mereka untuk membida sebagai tuan rumah kelayakan Piala Asia 2023 walaupun kes jangkitan COVID-19 di negara ini menunjukkan trend meningkat.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan pihak sekretariat sebelum ini sudah menghantar segala dokumen diperlukan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk membuat bidaan itu.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada jaminan untuk Malaysia berjaya dalam bidaan itu kerana perlu bersaing dengan negara lain yang turut mengemukakan permohonan.

"Betul meningkat (kes COVID-19), tapi ia berbeza kerana sudah banyak dapat dos (vaksin), jadi kita ikut segala SOP (prosedur operasi standard) MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

"AFC akan buat keputusan sama ada kita berjaya atau tidak, kerana saya difahamkan daripada Datuk Windsor John (Setiausaha Agung AFC), hampir kebanyakan pasukan membida untuk jadi tuan rumah, bukan kita sahaja.

"Jadi, AFC ada kriteria mereka (untuk memilih) dan setakat ini saya difahamkan kita masih (memenuhi kriteria), cuma terpaksa bersaing dengan negara lain.

"Ada sesetengah (negara) itu langsung tiada kuarantin. Jadi, AFC akan tengok semua kriteria dan yang paling mustahak pasukan kita kena bersedia sama ada bermain di dalam negara atau di luar," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar dilaporkan berkata kemungkinan keputusan mengenai bidaan itu dijangka diumumkan pada 28 Februari ini.

Berita Harian X