Rabu, 2 Februari 2022 | 10:04pm
Penyerang Manchester United, Mason Greenwood dibebaskan dengan ikat jamin. - Foto EPA
Penyerang Manchester United, Mason Greenwood dibebaskan dengan ikat jamin. - Foto EPA

Greenwood dibebaskan dengan ikat jamin

MANCHESTER: Penyerang Manchester United, Mason Greenwood dibebaskan dengan ikat jamin selepas disoal siasat berhubung dakwaan merogol dan menyerang seorang wanita muda, kata polis hari ini.

Pemain berusia 20 tahun itu ditahan Ahad lalu selepas gambar dan videonya tersebar di media sosial, dan ketika dia masih dalam tahanan semalam, dia terus ditangkap kerana disyaki melakukan serangan seksual dan ugutan membunuh.

Polis Manchester tidak menamakan pemain bola sepak itu, tetapi berkata: "Seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan pada Ahad 30 Januari 2022 kerana disyaki merogol dan menyerang seorang wanita dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu siasatan lanjut."

Jurucakap polis mengesahkan kepada AFP lelaki berkenaan dibebaskan dengan ikat jamin.

Berikutan perkembangan terkini itu, United menerusi satu kenyataan mengulangi pendirian kelab itu.

"Manchester United mengulangi pendirian mengecam sekeras-kerasnya terhadap sebarang bentuk keganasan.

"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Mason Greenwood tidak akan berlatih atau bermain untuk kelab sehingga diberitahu kelak," kata kelab berkenaan. - AFP

Berita Harian X