X
Rabu, 2 Februari 2022 | 2:55pm
Mat Yo sah sertai Melaka United musim ini. - FOTO MUFC
Mat Yo sah sertai Melaka United musim ini. - FOTO MUFC

Melaka sambar Mat Yo

MELAKA: Melaka United melakukan kejutan apabila mengikat penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha bagi mengharungi pentas Liga Malaysia musim ini.

Norshahrul, 35, menyertai pasukan Hang Tuah selepas semusim bersama Sarawak United FC musim lalu, bakal menjadi pilihan buat skuad terbabit membentuk gandingan mantap bersama Sony Norde dan Ifedayo Olusegun.

Norshahrul yang lebih mesra disapa Mat Yo antara pemain senior tempatan yang masih beraksi serta pernah menyarung jersi beberapa pasukan Liga Malaysia antaranya bersama Kelantan, Johor Darul Ta'zim (JDT), Negeri Sembilan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Terengganu, FELDA United FC dan Pahang selain berpengalaman menyertai kelab Thai League 1, BG Pathum United FC pada 2020.

"Beliau juga turut membuat lebih 80 penampilan bersama skuad kebangsaan dengan 14 gol di peringkat antarabangsa.

"Semoga dengan pengalaman yang dimiliki Norshahrul bakal membantu Skuad Hang Tuah dalam memberikan cabaran dalam semua saingan Liga Malaysia musim ini," menurut kenyataan dikeluarkan kelab itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC (MUFC), Datuk Justin Lim mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua masyarakat Cina di seluruh negara khususnya kepada penyokong skuad Hijau Putih.

"Semoga tahun Harimau membawa kekayaan dan kesihatan yang baik kepada semua. Sokongan berterusan anda kepada MUFC diyakini akan membawa lebih banyak kejayaan kepada kelab berkenaan," katanya.

Berita Harian X