Selasa, 1 Februari 2022 | 6:30pm
Gambar fail - Pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli.
Gambar fail - Pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli.

Selangor, TFC, KL mampu sekat JDT

KUALA LUMPUR: Selangor, Terengganu FC (TFC) dan Kuala Lumpur City (KL City) menjadi antara pasukan yang dijangka mampu menyekat impian Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut musim ini.

Perkara itu disuarakan pemerhati dan penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli sambil meramalkan JDT juga bakal berdepan tentangan sengit daripada beberapa pasukan lain yang dilihat mengambil langkah serius untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2022.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pasukan lain perlu mengekalkan konsistensi seperti apa yang dimiliki skuad JDT sekiranya benar-benar mahu mencabar kejuaraan Liga Super yang sudah lapan musim digenggam skuad Harimau Selatan.

Katanya, perkara itu yang berlaku pada musim lalu yang mana pada awalnya TFC dan Selangor dilihat mampu mencabar JDT merebut kejuaraan liga, namun akhirnya gagal kerana tidak berjaya mengekalkan persembahan konsisten hingga hujung musim.

"Tak mustahil ada pasukan boleh menggugat JDT dalam persaingan untk Liga Super. Namun, JDT jelas memperkukuhkan pasukan mereka selepas musim lalu banyak terpaksa bergantung kepada Bergson Da Silva. Kalau Bergson tak ada tahun lalu, saya rasa kemungkinan (juara) liga pun JDT tak dapat.

"Tapi nasib baik mereka dapat Bergson, banyak kali nasib mereka diselamatkan Bergson. Itu sebab tahun ini kita dapat lihat JDT mengambil begitu ramai pemain import untuk perkukuhkan pasukan mereka termasuk mencari gandingan yang sesuai dengan Bergson.

"Mereka mungkin boleh mencipta kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan, tapi saya lihat mereka juga akan diberikan saingan yang sengit daripada pasukan lain seperti TFC, Selangor dan KL City pada tahun ini," katanya kepada BH Sukan.

Berbanding musim lalu, JDT pada tahun ini mengikat lebih ramai pemain import baharu termasuk Fernando Forestieri, Moussa Sidibe, Bienvenido Maranon dan Carli de Murga dalam usaha untuk berdepan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Liga M.

TFC juga dilihat mengikat ramai pemain import dengan membawa masuk bekas gandingan serangan Kedah Darul Aman (KDA), Kpah Sherman dan Kipre Tchetche selain mengikat pemain Melaka United musim lalu, Manuel Ott.

Selangor pula tidak kurang hebatnya apabila membawa masuk dua pemain Jordan, Baha' Abdel-Rahman dan Yazan Al-Arab serta yang terbaharu mendapat sentuhan penyerang dari Brazil, Hyuri Henrique.

Sementara itu, KL City yang mengejutkan JDT di final Piala Malaysia musim lalu masih mengekalkan lebih 90 peratus pemain mereka dan skuad City Boys juga akan menjadi pasukan pertama menguji skuad Harimau Selatan musim ini pada aksi Piala Sumbangsih, 26 Februari ini.

Dalam perkembangan sama, Pekan yang juga Ketua Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menganggap pasukan gergasi seperti Kedah mungkin berdepan sedikit kesukaran di awal musim susulan kehilangan beberapa pemain termasuk kapten mereka, Baddrol Bakhtiar, Sherman dan Tchetche.

"Saya nampak Sri Pahang untuk musim ini mungkin takkan berlaku macam musim lalu yang mana mereka terumbang-ambing. Mereka buat persiapan awal dengan memuktamadkan pemain import dan juga pemain tempatan, jadi mereka mungkin akan bermula lebih baik dari musim lalu.

Berita Harian X