Ahad, 23 Januari 2022 | 8:14pm
10 pemain tempatan Melaka United yang dikekalkan musim ini. - Foto ihsan Facebook Melaka United FC.
10 pemain tempatan Melaka United yang dikekalkan musim ini. - Foto ihsan Facebook Melaka United FC.

Melaka United kekal 10 pemain tempatan

MELAKA: Melaka United FC (MUFC) mengekalkan 10 pemain tempatan bagi membawa cabaran skuad Hang Tuah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2022.

Mereka adalah penjaga gol, Norazlan Razali selain tiga pertahanan iaitu Mohd Akmal Md Zahir, Wan Amirul Afiq Wan Abd Rahman dan Khairul Anwar Shahrudin.

Turut dikekalkan tiga pemain tengah iaitu Mohd Faris Shah Rosli, Hasbullah Abu Bakar dan Fakhrullah Rosli manakala dua pemain sayap adalah Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Faizal Talib serta Hazim Abu Zaid (penyerang).

"Semoga pemain-pemain sedia ada yang dikekalkan bakal membentuk gandingan terbaik bersama pemain-pemain baharu dalam membawa cabaran MUFC dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

"Selamat menyertai MUFC juga buat dua penjaga gol baharu, Bryan See Tian Keat dan Ahmad Asyraaf Omar yang sah bakal menyertai skuad Hang Tuah musim ini," kata kenyataan kelab berkenaan, hari ini.

Bryan, 28, yang menyertai Penang FC musim lalu memulakan karier di peringkat kolej di Amerika Syarikat bersama UC Irvine Anteaters dan Johns Hopkins Blue Jays sebelum beraksi dalam saingan Liga M.

Malah dia juga menyertai PKNP FC pada 2018 dan pernah beraksi di Thai League 3 bersama Bangkok FC pada 2019 sebelum menyertai PDRM FC dan Penang FC.

Sementara, Ahmad Asyraaf, 27, juga berhijrah dari Penang FC berpengalaman sebagai penjaga gawang utama PKNP FC selama tiga musim dari 2016 hingga 2019. Beliau kemudiannya menyertai KL Rovers FC dan Penang FC musim lalu.

Berita Harian X