Ahad, 23 Januari 2022 | 6:50pm
Gambar fail - Bekas Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Gambar fail - Bekas Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.

Mampukah sentuhan Korea mengubah nasib Harimau Malaya?

KUALA LUMPUR: Jangkaan 'melangit' pasti disandarkan kepada jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon yang sah dilantik sebagai pengendali baharu skuad Harimau Malaya bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya itu.

Ini susulan kejayaan dua lagi jurulatih dari republik berkenaan iaitu Park Hang Seo yang berjaya mentransformasikan bola sepak Vietnam selain sentuhan Shin Tae Yong yang kembali 'menghidupkan' Indonesia sehingga mara ke final Piala AFF Suzuki 2020.

Justeru, pelantikan Pan Gon bakal hadir dengan satu persoalan besar, mampukah satu lagi sentuhan dari Korea Selatan itu mengubah Malaysia seperti yang sudah dilakukan oleh Hang Seo dan Tae Yong?

Mungkinkah penyokong bola sepak tempatan yang selama ini mendambakan aksi berkelas dunia dapat melihat pemain negara memperagakan corak permainan seperti skuad Naga Emas ataupun Garuda?'

Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Peter de Roo menjelaskan 'kampung' seseorang jurulatih tidak menjanjikan apa- apa kerana kualiti seseorang jurulatih akan menjadi penentunya.

Jelasnya, jurulatih itu perlu memiliki kualiti bagi meneruskan apa sudah dibentuk oleh Cheng Hoe sejak 2017 untuk corak permainan dan menerapkan budaya yang baik dalam pasukan seperti sebelum Piala Suzuki AFF 2020.

"Pada saya, tidak relevan untuk bercakap mengenai asal-usul jurulatih itu. Kita tidak perlu berubah seperti Indonesia atau Vietnam, kita hanya perlukan jurulatih yang berkemampuan, tak kiralah daripada mana dia berasal.

"Saya faham (kejayaan Vietnam kerana jurulatih Korea Selatan) tetapi Vietnam bermain dengan baik dan berdisiplin kerana jurulatihnya membuat kerja dengan baik, bukan sebab dia (Hang Seo) dari Korea Selatan.

"Ada juga jurulatih yang buruk dari Korea Selatan ataupun dari tempat asal saya, Belanda. Ini (kejayaan skuad kebangsaan) bukan isu kewarganegaraan tetapi ia lebih kepada faktor kualiti. Apa yang penting dia dapat membawa pasukan kebangsaan ke tahap lebih tinggi.

"Saya harap dia (Pan Gon) dapat melakukan tugasnya dan sebaik Cheng Hoe. Tidak kisah dari mana, asalkan dia jurulatih yang baik tetapi jelas dia perlu mengisi kekosongan yang besar selepas ketiadaan Cheng Hoe," katanya kepada BH Sukan.

Berita Harian X