Selasa, 18 Januari 2022 | 1:40pm
Penyerang Cameroon Vincent Aboubakar meraikan jaringan ketika aksi Kumpulan A Piala Negara-Negara Afrika menentang Cape Verde di Stade d'Olembe, Yaounde. - Foto AFP
Penyerang Cameroon Vincent Aboubakar meraikan jaringan ketika aksi Kumpulan A Piala Negara-Negara Afrika menentang Cape Verde di Stade d'Olembe, Yaounde. - Foto AFP

Aboubakar peledak berbisa Cameroon

YAOUNDE, Cameroon: Kapten Cameroon Vincent Aboubakar menjaringkan gol kelimanya di Piala Negara-Negara Afrika dan pasukannya yang sudah layak ke pusingan kedua disertai oleh Burkina Faso.

Penyerang berpangkalan di Arab Saudi itu, yang mencapai usia 30 tahun Sabtu lalu, meletakkan Cameroon di depan dan pemain gantian Garry Rodrigues menyamakan kedudukan untuk Cape Verde untuk keputusan 1-1 di Yaounde.

Cyrille Bayala meletakkan Burkina Faso di depan dan Getaneh Kebede menyamakan kedudukan untuk Ethiopia menerusi sepakan penalti di Bafoussam dalam satu lagi keputusan 1-1.

Cameroon mendahului kumpulan dengan tujuh mata manakala Burkina Faso mengatasi Cape Verde berdasarkan rekod pertemuan antara mereka selepas masing-masing mengumpul empat mata. Ethiopia yang mengutip satu mata tersingkir.

Cape Verde kini perlu menunggu keputusan lain untuk layak sebagai salah satu daripada empat pasukan ketiga terbaik daripada enam kumpulan.

Cameroon akan bertemu salah satu pasukan tempat ketiga di Yaounde pada 24 Januari, sehari selepas Burkina Faso menentang naib juara Kumpulan C di Limbe.

Sekiranya Cape Verde layak, mereka akan berdepan juara Kumpulan B atau C di Bafoussam atau Yaounde pada 25 Januari.

"Kami menjuarai kumpulan, yang menjadi sasaran kami, walaupun hakikatnya kami mahu menang semua perlawanan. Kami akan terus bermain di sini di Olembe,: kata pengendali Cameroon Toni Conceicao.

Aboubakar adalah pemain Cameroon pertama menjaringkan gol dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan Piala Negara-Negara Afrika sejak Samuel Eto'o melakukannya dengan lima gol pada final 2008 di Ghana.

Ndaye Mulamba memegang rekod gol terbanyak di kejohanan itu dengan sembilan gol untuk Zaire (kini dikenali sebagai Republik Demokratik Congo) di Mesir 48 tahun lalu. - AFP

Berita Harian X