Selasa, 18 Januari 2022 | 9:17am
Pengendali Chelsea Thomas Tuchel (kanan) berkata kelab akan cuba bantu mengatasi ketumpulan penyerang bintangnya Romelu Lukaku. - Foto AGENSI
Pengendali Chelsea Thomas Tuchel (kanan) berkata kelab akan cuba bantu mengatasi ketumpulan penyerang bintangnya Romelu Lukaku. - Foto AGENSI

Tuchel cuba bantu Lukaku

LONDON: Thomas Tuchel berkata dia tidak perlu menukar pendekatan Chelsea hanya untuk menyesuaikan dengan penyerangnya Romelu Lukaku yang hilang ketajaman di depan gawang, sambil menegaskan kelab akan cuba membantunya.

Pengendali Chelsea itu menyuarakan kekecewaannya terhadap penyerang Belgium itu dan penyerang yang lain selepas mereka tewas 1-0 di tangan pendahulu Liga Perdana Inggeris Manchester City Sabtu lalu.

Tuchel, yang akan bertandang ke Brighton hari ini, ditanya apakah dia perlu menukar corak permainan Chelsea bagi melengkapi bekas pemain Inter Milan itu.

Namun pengendali dari Jerman itu berkata dia tidak boleh memberi tumpuan hanya kepada penyerang bintang kurang menyerlah itu - yang menjaringkan hanya dua gol Liga Perdana Inggeris sejak September.

"Saya rasa kami akan cuba untuk membantunya. Ini yang sering kita lakukan untuk mana-mana pemain. Ini adalah sukan berpasukan jadi ia bukan berkenaan 10 pemain bekerja untuk seorang pemain.

"Ini bukan Chelsea dan ini bukan bola sepak. Setiap pemain berfungsi untuk pasukan. Ini adalah prinsip tertinggi dan ia tidak akan berubah," kata Tuchel.

Pengendali Chelsea itu turut menuntut penjelasan berkenaan proses membuat keputusan dalam menangguhkan perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Pertemuan antara Tottenham Hotspur dan Arsenal pada Ahad ditangguhkan selepas The Gunners kehilangan beberapa pemain akibat COVID-19, kecederaan dan komitmen Piala Negara-Negara Afrika.

Chelsea meminta perlawanan menentang Wolves pada 19 Disember lalu ditangguhkan selepas tujuh kes positif COVID-19 dalam skuad mereka, tetapi tidak dipedulikan.

"Saya rasa keputusan perlu lebih jelas dan konsisten. Saya masih percayakan peraturan kerana apabila saya mula meraguinya atau tidak percaya, di mana ia akan berakhir?

"Saya dapat maklumat dan menerimanya kerana apa lagi yang saya mampu buat. Saya tidak akan buang tenaga untuk keputusan yang saya tidak ada pengaruh di dalamnya," katanya. - AFP

Berita Harian X