PARIS: Penyerang Bayern Munich Robert Lewandowski mempertahankan gelaran pemain lelaki terbaik FIFA manakala kapten Barcelona Alexia Putellas mengungguli kategori wanita.
Lewandowski, 33, mencatat rekod gol Bundesliga musim lalu, dan mengatasi Lionel Messi dari Paris Saint-Germain serta Mohamed Salah dari Liverpool untuk gelaran berkenaan.
"Saya gembira dan bangga dapat memenangi anugerah ini," kata Lewandowski yang meledak 48 gol untuk kelab dan negara pada musim 2020-2021.
Lewandowski menjaringkan tiga gol untuk Bayern pada hujung minggu lalu dan melebarkan jumlah jaringannya kepada 39 gol dalam 33 perlawanan.
Anugerah berkenaan menebus kekecewaannya selepas tewas kepada Messi dalam persaingan merebut Ballon d'Or pada November.
Putellas pula mengekalkan reputasinya selepas mengatasi rakan sepasukan Barcelona Jennifer Hermoso dan Sam Kerr dari Chelsea, seperti yang berlaku ketika Ballon d'Or.
Pemain tengah berusia 27 tahun itu mengharungi musim 2020-2021 yang cemerlang bersama Barcelona, membawa kelab Catalan itu menjuarai liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara Eropah.
Cristiano Ronaldo memenangi Anugerah Khas di atas rekod gol antarabangsa terbanyak untuk negaranya, menewaskan Ali Daei yang sebelum ini meledak 109 gol untuk Iran.
Ronaldo, 36, kini mengumpul 115 gol dalam 184 penampilan untuk Portugal selepas beraksi buat kali pertama ketika berusia 18 tahun pada tahun 2003.
"Saya tidak pernah menjangkakan dapat memecahkan rekod ini, dan saya berterima kasih kepada rakan sepasukan sepanjang 20 tahun ini," kata Ronaldo yang turut memegang rekod untuk 140 gol Liga Juara-Juara Eropah.
Penjaga gol Chelsea Edouard Mendy dan Christiane Endler dari Lyon memenangi kategori penjaga gol terbaik.
Chelsea turut mengungguli kategori jurulatih terbaik menerusi Thomas Tuchel dan Emma Hayes.
Erik Lamela, kini bersama Sevilla, memenangi anugerah gol terbaik menerusi jaringannya untuk Spurs.
Pegawai perubatan dan pemain Denmark, yang bertindak pantas ketika Christian Eriksen tumbang semasa aksi Euro, memenangi anugerah fair play. - AFP