Isnin, 17 Januari 2022 | 9:13pm
Bekas CEO Manchester United dan Chelsea, Peter Kenyon. - Foto ihsan The Scottish Sun.
Bekas CEO Manchester United dan Chelsea, Peter Kenyon. - Foto ihsan The Scottish Sun.

Newcastle minat dapatkan khidmat bekas CEO United

LONDON: Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United berhasrat untuk mengukuhkan lagi pengurusan mereka dengan melantik Peter Kenyon sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu mereka.

Bekas supremo Manchester United dan Chelsea itu kini menjadi calon utama untuk menguruskan pasukan 'di luar padang'.

Pemilik baharu skuad The Toons mahukan kepakaran dan sudah pun melantik Dan Ashworth untuk jawatan tertinggi.

Namun Kenyon dilihat sebagai ketua pegawai eksekutif yang ideal dengan kemahiran organisasinya selain mampu membantu aspek komersial untuk terus berkembang.

Pasukan itu sedang menstruktur semula pengurusan di luar padang dan Nick Hammond memainkan peranan penting sejak Lee Charnley meninggalkan pasukan itu.

Sebelum ini, Kenyon turut terbabit dengan urusan perpindahan pemain di United dan juga Chelsea.

Aspek itu perlu dikendalikan dengan baik khususnya selepas mereka mensasarkan untuk mengikat lebih banyak pemain baharu pada jendela perpindahan seterusnya.

- AGENSI

Berita Harian X