Isnin, 17 Januari 2022 | 8:56pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) pada sidang media bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selepas majlis pecah tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) pada sidang media bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selepas majlis pecah tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah.

KBS bantu FAM bida tuan rumah kelayakan Piala Asia

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membida untuk menjadi tuan rumah kempen kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan pada pertengahan tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan pihaknya akan memberikan komitmen penuh bagi memastikan bidaan yang dibuat oleh FAM itu berjaya.

"Bagi pihak KBS dan juga kerajaan, tentunya kita mengalu-alukan segala usaha yang sedang dibuat oleh pihak FAM untuk perkara itu dan tentunya jika kita ingin buat bidaan, kerajaan juga akan bekerjasama rapat dengan FAM," katanya selepas majlis pecah tanah ibu pejabat FAM di sini, hari ini yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Semalam, BH Sukan melaporkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi merayu jaminan daripada kerajaan supaya kempen kelayakan dapat diteruskan tanpa sebarang halangan sekiranya Malaysia berjaya dalam bidaan menjadi tuan rumah.

Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika mengulas perkara itu menjelaskan apa yang menjadi kekangan ketika ini adalah berkaitan isu kuarantin selama tujuh hari yang ditetapkan kerajaan.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama kerajaan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Untuk bidaan ini, apabila habis kelayakan (pusingan kedua) di UAE (Emiriah Arab Bersatu), saya berpendapat kita perlu membida (jadi tuan rumah). Saya yang usulkan kepada rakan-rakan EXCO FAM untuk bida dan semua bagi sokongan, kita juga sudah hantar kepada AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

"Cuma yang menjadi kekangan hanya kita mungkin perlu adakan mesyuarat dengan pihak kerajaan seperti KKM dan MKN, isunya tujuh hari kuarantin, yang lain tiada isu. Tapi kena ingat, kita hantar ini, berpuluh lagi orang (negara lain) tengah hantar (bidaan).

"Jadi tak semestinya kita bida kita boleh dapat, kita kena bagi yang terbaik. Banyak SOP (prosedur operasi standard) termasuk dari segi stadium, fasiliti dan hotel semuanya kena terbaik," katanya.

Berita Harian X