Isnin, 17 Januari 2022 | 7:03pm
Pemain import baru Selangor FC, Bahaa Abd Rahman dan Yazan Al Arab (kanan) bersama jersi baru pasukan pada sesi perkenalan di perkarangan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada hujung minggu lalu. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad.
Pemain import baru Selangor FC, Bahaa Abd Rahman dan Yazan Al Arab (kanan) bersama jersi baru pasukan pada sesi perkenalan di perkarangan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada hujung minggu lalu. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad.

Yazan mahu popularkan Liga M di Timur Tengah

KUALA LUMPUR: Bukan setakat mahu membantu Selangor FC menjulang piala pada musim ini, malah import baharu mereka, Yazan Al-Arab mahu mempopularkan Liga Malaysia (Liga M) kepada pemain di Timur Tengah.

Itu antara misi peribadi yang diletakkan pertahanan dari Jordan itu selepas bakal memperkasa benteng The Red Giants bagi musim 2022, sekalipun sahamnya masih 'laris' dalam kancah bola sepak di rantau terbabit.

Pemain berusia 25 tahun itu juga melihat kualiti Liga M kian meningkat sekali gus dia teruja untuk merasai pengalaman dan cabaran untuk berentap dalam kancah bola sepak domestik.

"Ini satu cabaran yang baharu buat saya dan saya juga mahu memberikan sesuatu untuk dibanggakan oleh penyokong SFC. Salah satu sebab saya ke sini adalah untuk mengubah persepsi pemain dari tempat saya mengenai Liga M.

"Saya menerima banyak tawaran daripada kelab di sana. Tetapi mungkin (penyertaan saya di Liga M) akan membuka lebih banyak peluang kepada pemain Timur Tengah untuk datang ke sini," katanya.

Terdahulu, bekas pemain Al-Wehdat bersama rakan sepasukan kebangsaannya, Baha' Abdel-Rahman diperkenalkan kepada penyokong SFC pada Hari Jersi Selangor yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Jangkaan tinggi pasti diletakkan kepada Yazan terutama selepas melihat prestasi pemain import Selangor pada musim 2021 yang kurang memberangsangkan sekali gus memaksa pasukan melepaskan mereka.

"Saya sedar mengenai pemain import musim lalu tetapi saya rasa tidak akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri di sini kerana saya pun beraksi dalam liga di Asia.

"Situasi padang, suasana dan cuaca tidak seharusnya menjadi isu kerana tidak ada jurang yang ketara antara di sana dengan di sini. Saya akan memberikan yang terbaik buat pasukan," kata Yazan.

Berita Harian X