Isnin, 17 Januari 2022 | 6:27pm
JDT diundi dalam satu kumpulan bersama Kawasaki Frontale, Guangzhou FC dan pemenang playoff antara kelab dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai atau wakil Thailand, Port FC. - Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers.
JDT diundi dalam satu kumpulan bersama Kawasaki Frontale, Guangzhou FC dan pemenang playoff antara kelab dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai atau wakil Thailand, Port FC. - Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers.

Juara Jepun cabaran JDT saingan ACL

KUALA LUMPUR: Juara Liga Jepun (Liga J), Kawasaki Frontale menanti wakil tunggal negara pada pentas Liga Juara Juara Asia (ACL), Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi saingan musim 2022.

Dua pasukan yang menjuarai saingan liga domestik itu masing-masing akan berentap apabila diundi dalam Kumpulan I bersama pasukan tangga ketiga Liga Super China, Guangzhou FC.

Pemenang aksi play-off antara kelab dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai ataupun wakil Thailand, Port FC akan melengkapkan satu lagi pasukan dalam kumpulan terbabit.

Juara bertahan yang pemenang gelaran terbanyak, Al-Hilal pula diundi dalam Kumpulan A bersama Al-Rayyan SC, FC Istiklol dan pemenang perlawanan play-off antara Sharjah menentang Al-Zawraa.

Aksi peringkat kumpulan akan membuka tirainya pada April ini.

Sebagai rekod, skuad Harimau Selatan tampil di peringkat kumpulan saingan tertinggi Asia itu untuk empat musim berturut-turut sejak 2019.

Namun dalam tiga penampilan yang disertai sebelum ini, kempen mereka berakhir setakat di peringkat kumpulan.

Bagi musim 2021, skuad bimbingan Benjamin Mora itu menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan G yang turut dihuni Nagoya Grampus selain naib juara ACL, Pohang Steelers dan Ratchaburi.

Berita Harian X