Isnin, 17 Januari 2022 | 6:02pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) merasmikan majlis pecah tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya, hari ini. Hadir sama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tiga kiri). - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) merasmikan majlis pecah tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya, hari ini. Hadir sama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tiga kiri). - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah.

Sumbangan RM10j beri nafas baharu industri bola sepak

PUTRAJAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata sumbangan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan memberi nafas baharu kepada industri bola sepak tanah air selepas mengharungi tempoh sukar berikutan pandemik COVID-19.

Menurutnya, badan induk berkenaan berdepan detik sukar termasuk dari aspek kewangan apabila kehilangan beberapa penaja sejak pandemik itu bermula pada 2020.

Katanya, pihaknya menyuarakan perkara itu pada pertemuan kepimpinan FAM dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melakukan kunjungan hormat di Bangunan Parlimen November lalu.

"Jadi itu (sumbangan) memang akan digunakan untuk FAM keseluruhannya dan untuk pasukan kebangsaan. Saya akan bincang dengan EXCO mengenai apa yang perlu dibuat.

"Kita (FAM) pun sebelum ini kehilangan penaja dan kita tengah mencari penaja baharu. Jadi sumbangan ini dapat membantu FAM untuk jalankan apa jua usaha kerana betapa sukarnya kita sejak pada tahun 2020," katanya selepas majlis perasmian pecah tanah projek ibu pejabat FAM di Presint 5, di sini, hari ini yang disempurnakan Ismail Sabri.

Pada majlis itu, Perdana Menteri dalam ucapannya mengumumkan kerajaan akan menyumbang sebanyak RM10 juta kepada FAM tahun ini sebagai sokongan untuk pembangunan bola sepak negara.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sumbangan itu adalah tambahan daripada peruntukan yang diluluskan di Parlimen melalui Belanjawan 2022.

"Alhamdulillah. Pengumuman tadi berita baik bukan sahaja kepada FAM tetapi kepada seluruh peminat bola sepak negara ini," katanya.

Berita Harian X